Semua pihak diminta tidak terlalu ghairah mengemukakan pandangan masing-masing mengenai keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kepelbagaian pendapat yang disuarakan itu dikhuatiri mampu menghilangkan keharmonian masyarakat di negara ini.
"Sedangkan isu ini bukan isu baru...isu ini sudah lama. Oleh itu kita sabar dahulu dan tunggu sistem rayuan yang akan dimulakan oleh pihak berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sorakan Gema Cahaya di ibunegara malam tadi, lapor Bernama.
Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Herald boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.
Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya, menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.