Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 3.52pm Sidang pengarang Herald The Catholic Weekly belum disiasat polis berhubung aduan "mempunyai niat tidak baik" apabila menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan itu, kata editornya.

"Polis belum kunjungi saya," kata Lawrence Andrew kepada Malaysiakini hari ini, sambil menambah pihaknya juga belum menerima sebarang tuntutan daripada polis.

Beliau diminta mengulas aduan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) terhadap mingguan Katholik itu, Jumaat lalu, selepas ia mengadakan demonstrasi membantah penggunaan nama Allah.

the herald Dalam aduannya, Naib Presiden PKPIM Abu Kasim Nur Azmi mendakwa terdapat unsur niat jahat (mala fide) dalam penggunaan kalimah Allah di penerbitan tersebut.

Andrew turut diminta mengulas laporan muka depan dua akhbar utama bahasa Melayu hari ini yang memetik kenyataan presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia yang mencadangkan Herald menarik balik tuntutannya di mahkamah.

Clarence Bongkos Malakun dilaporkan berkata tuntutan itu perlu ditarik balik "berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar."

Andrew bagaimanapun berkata: "Itu pandangan peribadinya. Beliau bukanlah seorang ketua paderi atau uskup," katanya, yang enggan menjelas lanjut.

Herald mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarangnya menggunakan perkataan tersebut di mahkamah awal tahun lalu.

Pada 31 Disember lepas, mahkamah memutuskan media itu berhak menggunakan 'Allah' tetapi keputusan itu mencetuskan kontroversi luar biasa hingga kini - termasuk sembilan serangan ke atas gereja, sebuah daripadanya di Desa Melawati rosak teruk.

ADS