Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kerajaan tidak akan teragak-agak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pihak yang cuba menimbulkan isu perkauman dan keagamaan yang lebih serius sehingga menjejaskan keselamatan negara.
Beliau berkata kementerian memberi jaminan untuk menyiasat dalang di sebalik kejadian terhadap beberapa gereja di negara ini.
"Saya beri jaminan dalam konteks insiden terkini, kita telah pun melihat secara serius siapa dalang di sebalik insiden yang berlaku.
"Jadi kita tidak akan teragak-agak untuk menggunakan apa sahaja kuasa yang ada termasuk ISA, jika itu pilihan terakhir.
"Kita akan kenakan tindakan kepada sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang individu itu," katanya dalam rancangan 'Soal Jawab Khas' selama satu jam yang disiarkan menerusi TV3 malam tadi.
Hishammuddin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang disebar menerusi SMS, sebaliknya mendapatkan maklumat daripada polis atau pihak kementerian yang sentiasa memberi maklumat rasmi kepada orang awam.
"Kita dah pun mengeluarkan maklumat rasmi melalui kementerian dan polis. Ini bukan perkara rekaan kita... kita tidak tokok tambah keseriusannya, sebagaimana yang dilaporkan itulah keadaannya," katanya.
Bagaimanapun sejak 8 Jan, beliau berkata siasatan menunjukkan tiada perancangan yang diselaraskan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang boleh menjejaskan keselamatan orang awam di negara ini.
- Bernama
