Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad membidas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menganjurkan protes Jumaat lalu, membantah penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Bercakap dalam ceramah Pakatan Rakyat mengenai isu-isu semasa di Kota Damansara malam tadi, beliau mengecam Mais dan Jais kerana mengarahkan wakil mereka menyertai protes tersebut di Shah Alam.

Menurutnya, nama Mais dan Jais tertulis pada kain rentang yang mengecam penggunaan kaliman Allah oleh bukan Islam dan mereka yang menyertai protes itu turut memijak gambarnya (Khalid).

Khalid berkata, sekiranya pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi mahu terbabit dalam politik, maka beliau hendaklah menubuhkan sebuah parti dan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Khalid turut membidas pemimpin BN yang menurutnya mengamalkan 'double standard' dengan membenarkan protes tersebut, dengan syarat pesertanya berada dalam halaman masjid.

Beliau menyifatkannya sebagai amat ganjil kerana sewaktu demonstari diadakan terhadap 'tiga katak' di Ipoh, pemimpin BN berkata 'ini bukan budaya kita'.

"Jadi mengapa ia kini menjadi budaya kita sekrang," soalnya.

Khalid merujuk kepada demonstrasi yang diadakan di Ipoh Februari lalu ketika tiga ADUN dari PKR dan DAP mengisytihar menjadi wakil rakyat Bebas, sehingga mencetuskan krisis perlembagaan di Perak.

Mengenai pendiriannya dalam isu 'Allah', Khalid berkata beliau secara tidak adil menjadi sasaran kerana berkongsi pandangan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dengan memetik ayat-ayat al-Quran, Khalid mengulangi bahawa asas-asas sebenar Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Beliau juga turut mempertikaikan dakwaan ahli-ahli Umno bahawa undang-undang Selangor telahpun melarang penggunaan Allah oleh bukan Islam.

Menurut Khalid, Enakmen 1988 itu tidak digunakan hingga sekarang dan "sekarang mereka (Umno) menggunakannya untuk mewujudkan ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam.

Enakmen tersebut menyatakan bahawa sejumlah 25 nama, termasuk Allah, tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Bagaimanapun, wujud perdebatan mengenai isu tersebut di kalangan ulama dan pakar undang-undang.

Teguran Khalid mengenai tindak tanduk Jais dan Mais itu merupakan satu lagi kecacatan dalam hubungannya dengan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali, yang juga merupakan exco kerajaan negeri yang menjaga halehwal agama Islam di Selangor.

November lalu, pesuruhjaya PAS itu mengumumkan bahawa Jais perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan titah Sultan Selangor supaya masjid dijadikan kawasan larangan terhadap perbincangan politik dan isu-isu yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

[Baca berita penuh]

ADS