Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu 'Allah': Majlis Raja-Raja digesa prihatin saranan NGO

Majlis Raja-Raja perlu memberi perhatian berat terhadap resolusi muzakarah 30 NGO Islam semalam berhubung penggunaan kalimah Allah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Katanya, ia kerana resolusi itu menggambarkan keresahan masyarakat Islam di negara ini berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, diharap apa yang disampaikan oleh Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan NGO Islam yang lain itu, akan diberi perhatian berat oleh Majlis Raja-Raja dalam membantu mempercepatkan proses penyelesaiannya secara baik.

Semalam, muzakarah pemimpin 30 NGO Islam itu menggesa Majlis Raja-Raja supaya membuat keputusan muktamad bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja.

Presiden TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid dilaporkan berkata bahawa wakil gabungan NGO itu akan memohon untuk mempersembahkan sendiri resolusi tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

TERAS merupakan salah sebuah daripada kira-kira 30 NGO yang menyertai forum tertutup itu di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut berucap di forum itu ialah timbalan mursyidul am PAS Datuk Dr Harun Din, felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Mohd Asham Ahmad, dan juga setiausaha agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Ang Wan Seng.

'Beri isyarat'

Mengulas lanjut, Dr Mashitah berkata: "Tindakan berkumpul semalam itu memberi sedikit  isyarat bahawa orang Islam di negara ini sangat sensitif dalam hal seperti ini.

"Saya rasa ini (juga) harus dipandang serius oleh (mingguan Katholik)  Herald dan juga pihak lain supaya tidak timbul ketegangan," katanya sambil menambah, isu tersebut perlu diselesaikan secara "akar umbi."

Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan anugerah kepada graduan Institut Profesional Baitulmal di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mashitah menjelaskan bahawa ia merupakan isu penerbitan dan bukannya isu agama, manakala kerajaan telah mengambil tindakan atas alasan tersebut.

"KDN (kementerian dalam negeri) telah ambil tindakan sendiri dan kita harap bila perkara ini difailkan di mahkamah, ia akan diselesaikan di mahkamah.

"Kita nampak sikap serius kerajaan untuk selesaikannya, cuma dalam usaha kita selesaikannya, kena jaga (perasaan) semua (penganut agama)," katanya lagi.

Beliau turut mengulas tindakan menteri JPM, Datuk Jamil Khir Baharom menggesa pemimpin gereja supaya meminta Gereja Roman Katolik menggugurkan tuntutan menggunakan kalimah suci dalam agama Islam itu dalam Herald.

Dr Mashitah berkata, gesaan itu timbul bagi membolehkan isu tersebut "diselesaikan dengan cara baik" berdasarkan peruntukan enakmen yang menghalang penggunaan kalimah suci yang disenaraikan, termasuk 'solat', 'kiblat' dan 'baitullah' oleh bukan Islam.

"Jadi dalam masyarakat kita, tidak sama dengan masyarakat lain. Kita percaya jika perkara ini dipanjangkan, ia boleh cetuskan ketegangan antara kaum. Jadi kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga mengambil kira usaha untuk membincangkan isu tersebut melalui forum tertutup bagi mengelakkan ketegangan di kalangan masyarakat.

"Perkara ini telah diambil kira oleh Jabatan Perpaduan (Negara dan Integrasi Nasional) dan kita sendiri di IKIM (Institut Kefahaman Islam Malalysia) yang menganjurkan banyak forum secara tertutup," katanya.

ADS