Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perahu naga terbalik, dua lemas, 4 hilang
Diterbitkan:  Jan 17, 2010 2:12 PM
Dikemaskini: Jan 18, 2010 12:43 AM

Dua orang lemas manakala empat lagi masih hilang apabila perahu naga yang yang dinaiki pelajar sebuah sekolah menengah, terbalik akibat dipukul ombak di kawasan perairan kira-kira 500 meter dari Pengkalan Weld di Pulau Pinang hari ini.

Dua yang lemas itu ialah pelajar Jason Ch'ng, 17, dan seorang guru Chin Ai Fang. Empat lagi pelajar Brandon Yeoh, 17; Yong Xiang, 16; Koh Yiz Hiang, 17; dan Cheah Zi Jun, 17, belum ditemui.

Mangsa terdiri daripada pasukan pendayung dari Sekolah Tinggi Chung Ling, Air Itam yang sedang menjalani latihan mingguan bagi persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.

Pasukan pendayung perahu naga lelaki sekolah itu terdiri daripada 18 orang iaitu seorang guru (Chin), dua jurulatih dan 15 pelajar.

Kejaidian itu berlaku pada kira-kira pukul 8.45 pagi ketika mereka menjalani latihan mendayung.

    

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Gan Kong Meng berkata daripada 18 pelajar yang selamat, 12 daripada mereka sempat berenang ke pantai berhampiran manakala seorang lagi diselamatkan di kawasan laut.

    

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis dimaklumkan bahawa beberapa pelajar terbabit tidak memakai jaket keselamatan.

    

Kejadian dikatakan berpunca apabila pelajar terbabit cuba membelok perahu naga itu tetapi ia terbalik dipukul ombak.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat empat lagi mangsa ditangguhkan sehingga pukul 8 pagi hari Isnin.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Mohd Razam Tajarahim berkata operasi mencari dan menyelamat unit scuba dari jabatan itu terpaksa dihentikan kira-kira pukul 7 malam akibat cuaca gelap.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa akan diteruskan pada Isnin dengan tambahan anggota dari unit scuba Kedah yang tiba di lokasi.

"Kita juga akan menambah tiga lagi bot bagi membantu usaha-usaha mencari dan menyelamat menjadikan semuanya lapan buah bot akan beroperasi," katanya.

Usaha mencari dan menyelamat menerusi laut dan udara pada Ahad dijalankan oleh 60 anggota pasukan keselamatan.

- Bernama

ADS