• Kes kepala babi: Polis ambil keterangan 10 individu
  • 1264941504
  • Kira-kira 10 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penemuan empat kepala babi hutan di dua masjid di Petaling Jaya Rabu lepas, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.
        
    Mereka yang diambil keterangan termasuk ahli jawatankuasa masjid berkenaan, katanya.
        
    NONEBeliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu yang diambil keterangan itu.

    Polis juga sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan masjid termasuk di plaza tol berhampiran masjid berkenaan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab, katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Kempen Balik Kampung-Rumah Selamat' sempena perayaan Tahun Baru Cina di Subang Jaya hari ini.
        
    Khalid berkata pihak polis "sudah ada beberapa petunjuk, namun kita tidak boleh dedahkan lagi kerana ianya akan mengganggu siasatan."

    Rabu lepas, empat kepala babi hutan yang dibungkus dalam empat beg plastik beras ditemui di dua masjid di Petaling Jaya selepas solat Subuh.

    NONEDua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron, manakala dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang  yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.
        
    Jarak kedua-dua masjid adalah kira-kira dua kilometer.

    - Bernama