Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

saifuddin nasution Beberapa pemimpin PKR yang diura-urakan mahu keluar parti diberikan notis supaya memberikan penjelasan masing-masing, kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution.

"Individu terbabit diminta memberikan kerjasama membantu proses ini dan parti memberi jaminan mereka akan diberi ruang untuk menyampaikan hujah dan pandangan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, salinan surat berhubung isu yang sama telah dihantar semalam kepada pengerusi lembaga disiplin parti Dr Syed Husin Ali.

"Dalam hubungan ini, kepimpinan PKR bertekad mengambil langkah tegas terhadap mana-mana anggota parti yang melakukan salah laku disiplin.

"Tindakan ini diambil tanpa mengira status, pangkat dan kedudukan justeru amalan disiplin yang kuat sahaja bakal menentukan parti terus kuat," katanya.

Nama-nama pemimpin tersebut bagaimanapun tidak didedahkan.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, PKR menghormati hak untuk berbeza pendapat dengan pemimpin parti, selari dengan prinsipnya memperjuangkan perubahan demokrasi.

"Pindaan perlembagaan PKR yang memberi hak satu anggota satu undi, membuktikan kesungguhan PKR dalam menghormati hak-hak setiap anggota PKR.

"Serentak dengan itu, Pakatan rakyat juga menyediakan mekanisme yang jelas dalam menguruskan perbedaan pendapat," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, ruang itu tidak harus digunakan oleh mana-mana anggota untuk melancarkan serangan tanpa asas kepada pemimpin PKR dan juga Pakatan Rakyat.

Saifuddin juga turut menepis tanggapan bahawa parti itu kini dilanda krisis, seperti digambarkan dalam laporan media.

"Perkembangan terkini yang membabitkan beberapa individu pimpinan yang dirujuk kepada lembaga disiplin parti, tidak sama sekali membawa PKR ke dalam kancah krisis, apatah lagi menjauhkan PKR daripada agenda besar perjuangan.

"PKR dan Pakatan Rakyat menganggap gambaran sebegini sebagai sebahagian cabaran yang akan terus dihadapi semenjak lahirnya PKR dan bermulanya kerjasama Pakatan rakyat," katanya lagi.

ADS