Kemelut politik kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang semakin kusut apabila pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini secara terbuka semakin lantang mengkritik antara satu sama lain.
Terbaru, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri (Pengurusan) PKR Johari Kassim menyifatkan kenyataan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi (
kiri
) yang melabelkan parti itu macam sampah sarap sebagai biadap dan tidak menghormati rakan dalam pakatan pembangkang.
"Kenyataan Jeff yang melabelkan PKR sebagai parti yang macam sampah sarap adalah keterlauan dan tidak menghormati PKR sebagai komponen pakatan pembangkang.
"Pimpinan (PKR) negeri dan pusat patut menghantar memorandum meminta Jeff meminta maaf secara terbuka kerana kenyataannya yang biadap itu," katanya kepada pemberita.
Beliau mendakwa Jeff sengaja mengeruhkan suasana dalam pakatan pembangkang dengan melabelkan PKR sebagai parti yang terkenal dalam mengutip sampah sarap sebagai anggotanya.
Johari berkata kenyataan Jeff itu umpama memperkecilkan keseluruhan kepimpinan PKR kerana keanggotaan dalam parti disahkan oleh pemimpin parti itu.
- Bernama
