Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat Belgium berhak ambil Eye on Malaysia
Diterbitkan:  Feb 8, 2010 1:22 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan syarikat Belgium, Fitraco NV, yang membekalkan buaian gergasi 'Eye On Malaysia', memasuki satu kawasan di Melaka dan memindah keluar buaian itu.

Hakim Anantham Kasinather yang membuat keputusan itu di dalam kamar turut memerintahkan Fitraco membaikpulih keadaan tanah di situ seperti sebelumnya.

Menurut peguam Leonard Yeoh yang mewakili Fitraco, kes saman itu telah selesai dan syarikat MST AD Suria Sdn Bhd iaitu syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda 'Eye On Malaysia', juga diperintah membayar kos guaman sebanyak RM35,000.

Manakala syarikat Eye On Malaysia Sdn Bhd perlu membayar RM10,000 (kos guaman) kepada Fitraco.

Leonard berkata dengan perintah itu, Fitraco boleh melakukan apa sahaja ke atas buaian itu termasuk menjualnya.  

Tanah yang menempatkan buaian itu didaftar atas nama syarikat Eye On Malaysia (EOM) Sdn Bhd.

eye on malaysia large ferris wheel 040107 Selain Leonard, Fitraco turut diwakili peguam Cheah Soo Chuan manakala peguam Adillah Ahmad Nordin mewakili syarikat Eye On Malaysia dan peguam Azirizal Mohd Zaid mewakili MST AD Suria.  

Pada 15 Sept 2009, Fitraco, sebagai pemilik asal buaian gergasi itu, memfailkan saman terhadap syarikat Eye On Malaysia dan MST Ad Suria selepas syarikat terbabit gagal melunaskan tunggakan hutang berjumlah RM17 juta bagi menyewa dan membawa buaian berkenaan ke Malaysia pada 2006.

MST Ad Suria adalah syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda Eye On Malaysia pada 2006 sebagai sebahagian daripada tarikan utama sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia pada 2007.

Roda itu dipindahkan dari Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur ke muara Sungai Melaka pada September 2008 dan beroperasi secara rasmi sebulan selepas itu.

Sejak dibuka pada Oktober 2008, Eye On Malaysia dikatakan berjaya mencatat perolehan sebanyak RM5 juta.

Roda gergasi yang menjadi tarikan perlancongan utama di negeri Melaka itu disita pada 7 Jan lalu dan operasinya terpaksa diberhentikan serta-merta.

- Bernama

   

ADS