Persatuan Melayu Perlis (Pemanis) berharap Umno dan PAS dapat mewujudkan ruang pemuafakan demi kepentingan masa depan bangsa Melayu di negara ini.
Yang Dipertua Pemanis, Datuk Mohd Zain Hamzah berkata, persatuan itu telah menghantar memorandum mengandungi tandatangan lebih 1,000 aktivis Melayu kepada kedua-dua parti itu meminta agar pemimpin-pemimpin parti berkenaan menghentikan perselisihan yang berterusan demi kepentingan bangsa Melayu dan mengekalkan kuasa Melayu memegang tampuk pemerintahan negara.
"Kami juga ada mengemukakan banyak cadangan yang mungkin boleh diguna pakai oleh kedua-dua parti terbabit semasa menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya tanpa menyatakan cadangan-cadangan itu.
Mohd Zain berkata Pemanis bersedia untuk memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang berkaitan mengenai cadangan-cadangan yang terkandung dalam memorandum itu.
"Apa yang kita mahukan supaya bangsa Melayu kembali bersatu dan menegakkan kekuatan di negara ini agar kedaulatan bangsa dan agama Islam tetap teguh dan tidak dipandang rendah oleh mana-mana pihak," katanya.
- Bernama
