Zahrain keluar PKR, jadi MP bebas

Ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mengumumkan keluar dari PKR berkuatkuasa serta merta dan menjadi wakil rakyat bebas.

Beliau mengumumkan demikian dalam satu sidang akhbar di ibunegara pagi ini - yang disambut dengan laungan "hidup datuk seri" daripada kira-kira sepuluh penyokongnya yang hadir.

Zahrain berkata, beliau akan menjadi ahli parlimen yang bebas sepenuhnya dan tidak mesra BN.

"Tidak. saya tidak bercakap dengan mana-mana pemimpin BN. Umno atau mana-mana (pihak) tidak timbul.

NONE"Saya berdiri dengan prinsip sendiri sebagai ahli parlimen yang bebas," katanya dalam sidang media ringkas kira-kira 10 minit.

Berikutan itu, beliau mengumumkan meletakkan semua jawatannya dalam PKR berkuatkuasa serta merta.

Zahrain berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang sudah kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Mengelakkan "pening kepala"

"Tindakan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng membelakangkan prinsip-prinsip keadilan, hak asasi kemanusiaan dan keadilan semulajadi.

"Usaha pengyingkiran saya sebagai  Pengerusi (syarikat kerajaan negeri) Island Golf baru-baru ini adalah bukti jelas amalan politik cauvinis, diktatorial dan berfikiran alakomunis," katanya.

Beliau berkata, keputusannya itu juga kerana sudah hilang keyakinan kepada prinsip keadilan yang diperjuangkan oleh PKR.

NONE"Namun keyakinan dan kepercayaan saya hari ini terhakis dan diselubungi keraguan. Malahan keraguan itu telah mengatasi keyakinan saya terhadap matlamat dan perjuangan yang dibawa oleh PKR khasnya dan Pakatan Rakyat khasnya," katanya.

Zahrain berkata, ia juga merupakan satu keputusan peribadi dan tidak melibatkan rundingan dengan parti-parti lain.

Tambahnya, walaupun beliau pernah menafikan tindakannya akan keluar parti sebelum ini, tetapi perkara tersebut sentiasa bermain-main dalam fikirannya yang membuatkannya mengambil keputusan itu bagi mengelakkan "pening kepala."

Ditanya sama ada beliau akan mencadangkan wakil rakyat PKR yang lain untuk menurut jejak langkahnya, Zahrain menegaskan ini adalah tindakan peribadinya dan dia tidak terlibat untuk memujuk orang lain.

Bekas SUA PKR turut hadir

Ditanya sama ada tindakan beliau disebabkan oleh pembelian ahli parlimen Pakatan seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibarahim, beliau berkata: "Tidak ada beli apa".

Beliau kemudiannya bertanya kembali "16 September itu apa cerita? Saya pun kecewa dengan 16 September (tidak berjaya), tidak timbul isu beli-membeli...," katanya.

NONEWalaupun kecewa dengan Anwar, beliau menegaskan pemimpin tersebut masih merupakan seorang kawannya.

Walaupun pada mulanya Zahrain hanya membenarkan dua soalan diajukan kepadanya, tetapi asakan bertubi-tubi daripada kira-kira 50 pemberita membuatkan beliau akur dan tidak dapat menepisnya.

Turut bersamanya dalam sidang akhbar pagi ini ialah bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehudin Hashim.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita berhubung kehadiran dan pendirian politiknya atas alasan "ini bukan sidang media saya."

"Ini (Zahrain) kawan saya," katanya yang sering dilabelkan sebagai penyokong setia Anwar sebelum ini.

VIDEO | 7 min

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.