Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Hanya undang-undang syariah yang boleh menentukan isu murtad: hakim

Hak kebebasan beragama yang diperuntukkan dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan tidak memberi hak kepada seseorang Islam untuk mengamalkan agama itu sesuka hati, kata hakim Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur hari ini.

Hak perlembagaan itu tidak boleh diberi tafsiran yang luas sehingga ianya boleh membatalkan semua undang-undang Islam yang berkaitan dengan cara dan pengamalan yang ditetapkan oleh hukum syarak.

"Ini adalah kerana kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan dari kedudukan agama-agama lain.

"Pertama inya adalah agama bagi persekutuan dan kedua perlembagaan itu juga telah memberi kuasa bagi negeri-negeri untuk mengkanunkan hukum syarak," kata Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed.

Beliau berkata demikian ketika menolak rayuan habeas corpus oleh sepasang suami isteri Mohmad Ya, 57, Kamariah Ali, 51, dan dua orang lelaki yang lain iaitu Daud Mamat, 62, dan Mat Yaakob Ismail, 56, yang menuntut supaya mereka dibebaskan dari tahanan di penjara Pengkalan Chepa, di Kelantan.

Beliau yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Allaudin Mohd Sheriff juga telah menolak rayuan mereka berempat yang telah mengaku keluar dari Islam, untuk mendapat pengisytiharan hak kebebasan beragama.

Mohamad Ya dan Kamariah adalah bekas guru agama, manakala Mat Yaakob dan Daud masing-masing bekerja sendiri. Mereka diwakili peguam Jahaberdeen Mohd Yunus, Haris Ibrahim dan Mohana Kumar.

Menurut Abdul Hamid, Seksyen 102 Enakmen Acara Jenayah Syariah Negeri Kelantan yang memperuntukkan cara-cara sesorang itu memeluk agama Islam atau keluar dari agama itu adalah sah dan tidak bercanggah dengan hak kebebasan beragama.

Beliau juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam perayu bahawa Seksyen 102 tidak terpakai keatas perayu berempat kerana mereka bukan lagi penganut agama Islam setelah membuat pengakuan untuk keluar dari agama tersebut.

Soalan samada perayu-perayu itu murtad atau tidak adalah persoalan hukum syarak dan bukan undang-undang sivil, katanya.

Dengan itu hanya Mahkamah Syariah sahaja yang boleh memutuskan samada seseorang Islam itu masih beragama Islam atau tidak, walaupun mereka telah membuat pengakuan bahawa mereka telah keluar dari agama itu.

Terlalu umum

Berkenaan dengan permohonan pengisytiharan hak kebebasan beragama pula, Abdul Hamid berkata permohonan itu terlalu umum dan bukanlah tugas mahkamah untuk mengkaji semua undang-undang negeri untuk menentukan keperlembagaannya.

Pada 1996, mereka telah dipenjara dua tahum oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bahru kerana terlibat dalam ajaran sesat.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan Syariah telah menggantikan hukuman itu dengan jaminan untuk berkelakuan baik untuk lima tahun dan memerintahkan supaya merka melaporkan diri kepada Kadi daerah masing-masing untuk bertaubat.

Pada bulan Ogos 1998, mereka telah membuat pengakuan sumpah berkanun di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Kuala Lumpur bahawa mereka telah keluar dari agama Islam dengan kerelaan sendiri.

Pada Februari 2000 mereka dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Syariah yang sama kerana mengikari perintah bertaubat yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

Merka juga telah didakwa atas kesalahan cuba keluar dari agama Islam tapi masih belum dibicarakan.

Mereka kemudian membuat perhomohanan habeas corpus dan pengisytiharan kebebasan beragama di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tetapi telak ditolak.

ADS