Tok Pa: Kenyataan Nik Aziz kompromi politik

   

Umno Kelantan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini adalah kompromi demi politik.

    

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.

    

"Umno Kelantan dukacita dengan kenyataan Nik Aziz kerana Maulidur Rasul telah menjadi amalan di negara ini.

    

"Beliau sanggup mengatakan tiada fadilat dalam sambutan itu semata-mata atas kehendak politik DAP dan membelakangkan amalan yang dibuat di negara kita, sambutan itu bukan sahaja diamalkan di negara kita malah ianya juga diamalkan dinegara-negara Islam lain," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pemimpin Umno Bahagian Kubang Kerian, di Kota Bharu hari ini.

    

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang antara lain dilaporkan sebagai berkata bulan 'Maulud' tidak mempunyai fadilat atau sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.

    

Kenyataan Mursyidul Am PAS itu menimbulkan kontroversi memandangkan kerajaan Pulau Pinang yang diteraju DAP iaitu sekutu PAS dalam pakatan pembangkang sebelum ini dikecam kerana didakwa membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasuldi negeri tersebut.  DAP bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu juga

memperkecil-kecilkan sambutan Maulidur Rasul yang telah sekian lama diamalkan di negara ini.

    

"Saya yakin umat Islam tidak setuju dengan pandangan (Nik Aziz)  ini," katanya.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda