Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Pahang sedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran penggunaan kemudahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jengka untuk mengadakan konvensyen Umno negeri itu.

"Kita (bersikap) telus dengan menghantar surat rasmi kepada pihak pentadbiran universiti. Saya tidak risau untuk disiasat (oleh SPRM). UiTM memberi kebenaran (menggunakan kemudahannya)," kata setiausaha Umno negeri, Abdul Rahim Abas.

Beliau diminta mengulas dakwaan ketua penerangan PAS, Idris Ahmad yang mempersoalkan tindakan Umno Pahang mengunakan fasiliti di kampus itu bagi program tersebut, yang akan dirasmikan presidennya, Datuk Seri Najib Razak esok.

Idris semalam turut dilaporkan mendakwa, konvensyen Umno Pahang selama tiga hari merupakan program politik yang bertentangan dengan Akta UiTM yang tidak membenarkan program politik diadakan di universiti berkenaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Rahim berkata, pihaknya menyewa fasiliti di kampus tersebut sepanjang konvensyen itu mengikut kadar yang ditetapkan.

"Bayaran sewa akan dijelaskan selepas habis konvensyen itu," katanya.

Abdul Rahim juga menjelaskan, Umno Pahang mendapat kelulusan pihak universiti berkenaan Disember lalu, bagi mengadakan konvesyen tersebut.

Beliau juga menafikan program berkenaan mendedahkan pelajar kepada politik kerana ia berlangsung ketika masa pelajarnya bercuti.

Abdul Rahim juga berkata, UiTM menjadi pilihan Umno negeri kerana kemudahan di dua lagi lokasi - juga pusat pengajian - yang dicadangkan tidak sesuai.

Pelajarnya juga tidak bercuti pada tarikh berkenaan, tambahnya.

Sementara itu, ditanya berhubung dakwaan Idris berhubung tindakan Umno tersebut bertentangan dengan Akta UiTM, Abdul Rahim berkata:

"Saya tidak tahu adanya akta tersebut. Kalau begitu sepatutnya UiTM maklumkan perkara ini kepada kita."

Pihak pentadbiran UiTM ketika dihubungi Malaysiakini petang ini enggan mengulas berhubung kontroversi yang ditimbulkan PAS itu.

ADS