Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa, ada di kalangan 12 orang warga asing dan tempatan yang ditahan di Gombak di bawah ISA bulan lalu, mungkin dikaitkan dengan gerakan Wahabi.

NONE Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh ( kiri ) berkata kumpulan berkenaan sedang menjalani satu kuliah agama di sebuah apartmen pada 21 Januari lalu, apabila rumah tersebut diserbu oleh Unit Tindakan Khas Polis.

Dalam memorandum yang dihantar kepada Suhakam pagi ini, Syed Ibrahim berkata, GMI telah mengenal pasti identiti sembilan daripada 12 yang ditahan itu - seorang daripadanya rakyat Malaysia, manakala selebihnya rakyat Syria, Yaman, Nigeria dan Jordan.

Dua belas orang yang ditahan itu adalah antara 50 orang yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak bulan lalu. Bagaimanapun, 38 daripadanya telah dibebaskan tidak lama kemudian.

Dalam memorandum itu juga, Syed Ibrahim berkata tidak mustahil juga penahanan tersebut ada kaitan dengan dakwaan bahawa mereka anggota kumpulan yang dikaitkan dengan gerakan Wahabi, yang kononnya ejen keganasan antarabangsa.

Ketika membaca kandungan memorandum tersebut, beliau berkata mereka dikatakan tersenarai sebagai orang yang paling dikehendaki, bukan sahaja oleh negara asal mereka, tetapi juga oleh agensi perisik dan badan anti-pengganas antarabangsa.

"Kelihatannya, menjalankan kuliah agama boleh ditafsir sebagai mengancam keselamatan negara dan pasukan keselamatan besar-besaran mesti dikerahkan," kata Syed Ibrahim lagi.

NONE Diminta mengulas tentang ajaran Wahabi itu, Syed Ibrahim berkata: “Kaedah pembelajaran (Wahabi) berbeza tetapi tidak menyalahi Islam. Mereka bukan ajaran sesat.”

Kesemua nama berkenaan disenaraikan dalam memorandum yang diserahkan kepada pesuruhjaya Suhakam Datuk Siva Subramaniam.

"Kami menuntut kerajaan membebaskan semua tahanan dengan segera atau bicarakan mereka," kata Syed Ibrahim lagi dalam kenyataannya.

Tambahnya, GMI juga bersedia untuk melancarkan demostrasi bagi membantah penahanan berkenaan sekiranya tiada tindakan susulan dilakukan oleh Suhakam.

NONE Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein Rabu lalu dilaporkan berkata sembilan daripada tahanan berkenaan kini dalam proses untuk diekstradisi pulang ke negara asal masing-masing.

"Kerajaan juga masih gagal menjelaskan status tiga orang lagi yang dipercayai ditahan bersama dengan senarai tahanan di atas. Kerajaan juga sehingga hari ini masih tidak mengesahkan nama mereka yang ditahan," katanya.

Menjawab soalan wartawan, Syed Ibrahim berkata: "(Hishamuddin) mesti buktikan dengan satu senarai. Kalau tidak dengan mudah sahaja dia boleh tangkap saudara-saudara (wartawan) dan kata nama saudara ada dalam senarai pengganas. Sebab itu saya kata penahanan ini dibuat secara sewenang-wenangnya."

Bagaimanapun, katanya, GMI belum mendapat pengesahan sama ada tahanan berkenaan benar-benar terdapat dalam senarai 'orang dikehendaki' oleh pihak berkuasa terbabit.

"Kami belum mendapat pengesahan daripada kedutaan-kedutaan terbabit," katanya.

Subramaniam kemudiannya dalam sesi aduan tersebut memberi jaminan untuk meneliti bantahan yang dikemukakan GMI.

"Kita akan mendapat maklum balas daripada agensi-agensi keselamatan terbabit, daripada kedutaan dan juga daripada keluarga tahanan untuk dapatkan maklumat tambahan atas aspek yang dikemukakan.

"Kita prihatin dengan pandangan daripada ahli keluarga tahanan dan melihat isu ini dengan serius. Kita tidak akan biarkan isu ini disembunyikan di bawah tikar," katanya lagi.

Turut hadir ketika penyerahan memorandum berkenaan ialah dua anggota keluarga dan juga seorang rakan kepada individu yang ditahan.

 

ADS