Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Larangan masuk pejabat KM arahan pentadbiran biasa
Diterbitkan:  Feb 20, 2010 5:22 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Pejabat ketua  menteri Pulau Pinang hari ini menjelaskan arahan melarang semua pelawat dan pegawai selain kakitangan pejabat itu daripada memasuki ruang pejabat ketua menteri di tingkat 28, Komtar adalah peraturan pentadbiran biasa.

Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Farida Hani M Yacob berkata arahan itu bukan bermaksud tidak membenarkan pelawat datang ke pejabat ketua menteri, tetapi sebaliknya ia bagi memastikan orang ramai tidak sesuka hati memasuki  ruang pejabat itu.

    

"Jika dia (pelawat) nak jumpa pegawai tertentu contohnya nak jumpa saya, saya boleh bawa dia masuk ke ruang pejabat. Itu tidak ada masalah.

"Cuma kadang-kadang pelawat yang datang tak buat temu janji. Kita tak tahu apa urusan dan kita tak boleh benarkan orang sesuka hati keluar masuk pejabat Ketua Menteri," katanya kepada pemberita hari ini.

    

Beliau turut menjelaskan bahawa tingkat 28 dan beberapa tingkat yang  lain di Komtar diwartakan sebagai zon larangan dan pelawat perlu mendapatkan pas pelawat daripada pengawal di tingkat tiga untuk pergi ke tingkat-tingkat berkenaan.

    

"Bukan bermaksud zon larangan itu kita tak bagi orang naik. Orang  boleh naik dengan kebenaran iaitu setelah mendapatkan pas daripada pengawal di tingkat 3 dan selepas itu bolehlah pelawat itu naik ke tingkat 28 dan jumpa pegawai yang beliau ingin jumpa," katanya.

    

Semalam, Pemuda Umno menyelar tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang melarang semua pelawat dan pegawai selain kakitangannya daripada memasuki ruang pejabatnya di tingkat 28.

    

Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata arahan yang dikeluarkan dalam satu memo bertarikh 28 Jan lepas itu menyukarkan orang ramai untuk membuat urusan secara terus di pejabat ketua menteri.

- Bernama

ADS