Tiada laporan difailkan berhubung sebarang kecederaan yang dialami oleh A Kugan sepanjang penahananya, kata ketua D9, balai polis Taipan USJ, Rodney Pasla Harris.
Semasa disoal-balas oleh peguam pihak pembelaan, PM Nagarajan, beliau berkata adalah tugas pegawai penyelia untuk melaporkan kepada pegawai atasannya jika keadaan seumpama itu berlaku.
“Penyelia akan kemudian perlu membuat laporan berhubung perkara itu kepada pegawai atasan,” katanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pagi ini.
Ketika disoal-balas oleh Timbalan Pendakwaraya, Abazafree Mohd Abbas, Rodney menngulangi bahawa tiada sebarang laporan seumpama itu dibuat dalam kes Kugan.
Beliau menamakan Inspektor Faezal Munir sebagai pegawai penyelia dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Subang Jaya Lim Meng Siah sebagai pegawai atasan dalam kes ini.
Rodney memberi keterangan terhadap Konstabel V Navindran, yang didakwa atas dua tuduhan yang mengakibatkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di bilik soal siasat D9, balai polis Taipan antara jam 7 pagi hingga 4 petang pada 16 Jan tahun lalu.
Navindran mengaku tidak bersalah pada 1 Okt lalu terhadap dua pertuduhan itu yang didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi dua pertuduhan pilihan, Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Kugan pada jam 7 pagi dan 4 petang di tempat dan tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
