MIC tidak menentang cadangan Barisan Nasional (BN) untuk membuka keahlian kepada individu, parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan, kata presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu ( bawah ), hari ini.
Beliau berkata, sebenarnya parti itu akan membantu dan menyokong Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dalam usahanya bagi mengukuhkan gabungan itu.
“Cadangan untuk keahlian secara terus akan dibincangkan oleh semua komponen parti dalam semangat persaudaraan dan saling faham memahami,” katanya mengulas laporan media hari ini yang memetik pemerhati politik sebagai berkata, MIC akan menentang cadangan itu.
Laporan itu menyebut bahawa, ia kerana MIC akan hilang monopoli pada Dewan Tertinggi BN apabila menyentuh soal kaum India apabila parti politik berasaskan kaum India dibenarkan menyertainya.
Jumaat lalu, Najib mengumumkan bahawa BN akan meminda perlembagaan untuk memberi pengiktirafan kepada parti-parti politik, NGO dan individu yang cenderung menyokong mereka.
“Perdana Menteri mahu membawa masuk mereka yang menyokong BN. Beliau berusaha membina semula BN dan kami (MIC) akan memberi sokongan,” katanya sambil menambah bahawa MIC juga menjalankan usaha yang sama.
Samy Vellu berkata, MIC akan berbincang mengenai cadangan itu secara tertutup dan akan mengambil bahagian aktif dalam perbincangan apabila tiba masanya.
“Pendirian rasmi MIC berhubung cadangan keahlian itu ialah kami tidak akan menolaknya pada bila-bila masa. Saya mahu perkara ini difahami dengan jelas oleh semua pihak,” katanya.
- Bernama
