Majlis presiden MCA akan bermesyuarat esok untuk menentukan sama ada untuk menerima resolusi daripada puak yang menyokong naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai MCA yang mahu perwakilan membuat keputusan berhubung pemilihan barisan kepimpinan baru pada mesyuarat agung tahunan (EGM) parti itu yang akan datang.
Selain resolusi daripada kumpulan itu, MCA juga menerima lebih sepuluh resolusi lain yang juga menuntut pemilihan kepimpinan yang baru, kata setiausaha agung MCA, Datuk Wong Foon Meng (
kiri
) hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat sekretariatnya.
"Semua resolisi akan diserahkan ke majlis presiden esok untuk keputusan muktamad,” kata beliau dengan menambah jumalah keseluruhan resolusi yang diterima adalah 28.
Beliau juga mendedahkan semua resolusi yang mahukan pemilihan baru dibuat atas kapasiti persendirian.
Menurut Wong, sama ada resolusi berkenaan dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan parti akan dibincang dan ditentukan pada mesyuarat esok.
"Mesyuarat hari ini hanya mengkategorikan resolusi itu dan kami hanya memberi pandangan. Sama ada ia (resolusi itu) akan diterima oleh majlis presiden, kita terpaksa menunggu sehingga esok.”
Kumpulan Liow Selasa lalu menyerahkan empat resolusi untuk dibentang pada AGM akan datang di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur.
Resolusi pertama mereka ialah bagi perwakilan menentukan sama ada mereka bersetuju pemilihan yang baru diadakan.
Kumpulan itu telah berkali-kali berusaha agar pemilihan baru dibuat selepas perwakilan membuat undi tidak percaya kepada presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Okt 2009.
Namun semua usaha itu gagal termasuk tindakan mendapatkan jawatan kuasa pusat meletakkan jawatan secara beramai-ramai juga menemui jalan buntu.
Ong berdegil tidak mahu meletakkan jawatannya meskipun berjanji akan berbuat demikian jika “tewas walaupun satu undi”. Kedegilan Ong itu memaksa Liow 'menderhaka' dengan alasan untuk menjaga integriti MCA.
Resolusi lain yang dicadangkan oleh kumpulan Liow termasuk bagi meminda perlembagaan parti agar kuasa presiden disekat.
