Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pak Lah: Polis tidak boleh bantu PAS laksana undang-undang Hudud
Published:  Aug 9, 2002 11:09 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Polis tidak boleh membantu kerajaan PAS di Terengganu menguatkuasakan undang-undang Hudud selagi tidak ada satu keputusan bahawa undang-undang itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau yang juga menteri dalam negeri, berkata semua undang-undang yang ada dan digunapakai di negara ini adalah berasaskan kepada apa yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Agensi berita nasional, Bernama memetik Abdullah sebagai berkata, kuasa yang diperolehi oleh polis juga datangnya daripada perlembagaan itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa polis mesti memberi kerjasama dalam menguatkuasakan undang-undang Hudud yang dilaksanakan di negeri itu sejajar dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Akta Polis.

Sebelum itu, Abdullah menghadiri majlis penyampaian cek program pendidikan Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera (JKP) Pulau Pinang.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau tidak bersetuju bahawa orang PAS itu lebih Islam daripada orang lain hanya kerana mereka mahu melaksanakan hukum Hudud.

Prinsip keadilan

Katanya, banyak lagi perbuatan yang boleh dianggap mempunyai ciri Islam antaranya membela nasib dan kebajikan ummah, menggamankan manusia daripada ketakutan kepada kelaparan, kemunduran dan memastikan keselamatan mereka terjamin.

Katanya, dalam sejarah Islam sendiri, hukum Hudud itu bukanlah merupakan langkah awal yang diberi tumpuan sebaliknya usaha membangunkan ummah berasaskan prinsip keadilan dan bertanggungjawab lebih diutamakan.

"Kita berkuasa kerana kita diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah tapi kita juga perlu melaksanakan pemerintahan mengikut undang-undang yang ada dan apa juga keputusan perlu dibuat dengan adil," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus daripada undang-undang yang dilaksanakan di negara ini menepati kehendak agama Islam iaitu menegakkan keadilan untuk rakyat dan ia diterima pakai oleh semua kaum tanpa mengira agama dan keturunan masing-masing.

Mengenai keputusan kerajaan Terengganu untuk tidak melaksanakan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, Abdullah berkata, terpulang kepada kerajaan itu untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, katanya, jika sekolah agama hanya menumpukan kepada kurikulum pelajaran yang tradisional, maka tindakan ini tidak akan memajukan umat Islam.

Tolak pindaan

"Dalam dunia serba moden ini, kita perlu menguasai ilmu pengetahuan dan bidang sains bagi menghadapi pelbagai cabaran globalisasi dunia dan revolusi digital," katanya.

Mengenai keputusan dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah menolak pindaan perlembagaan negara itu bagi membolehkan undang-undang Islam dilaksanakan di negara itu, beliau berkata, perkara itu secara kebetulan nampak sama dengan penentangan Umno terhadap undang-undang hudud PAS.

"Kalau mereka tentang hukum Hudud di negara mereka dan kitapun tidak dapat menerima hudud PAS di negara kita maka pendiriannya itu nampaknya sama. Tapi kita menentang dengan sebab-sebab dan argument (hujah) yang paling relevan dengan situasi yang ada di negara kita.

"Pokok pangkalnya bermakna tak semuanya bermula dengan Hudud," katanya.

Mengenai dakwaan PAS bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata, parti itu hanya tahu mengkritik dan memfitnah sahaja dan apa sahaja yang dilakukan oleh BN sentiasa dianggap tidak kena dengan PAS.

ADS