Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan bahawa tiada pengecualian terhadap kes siasatan rasuah ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membabitkan tajaan mengerjakan haji dan isu penyelewengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Zakaria Jaffar, berkata tidak ada pihak yang boleh dianggap "terkecuali" dalam kes seperti ini termasuk Menteri Besar itu dan siasatan dilakukan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Malahan, katanya, siasatan yang dibuat ke atas Nik Aziz (
kiri
) berhubung kes rasuah adalah mengikut prosedur biasa undang-undang negara ini.
"Siasatan kita standard dan siasatan SPRM tidak terikat kepada sesiapa," katanya selepas majlis Serah Menyerah Tugas antara Pengarah SPRM Kelantan, Mohd Jaafar Hussin dan Timbalan Pengarah Akademi SPRM, Nasaruddin Mohd Nor di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya sebelum ini berhubung sebuah blog menyiarkan artikel "SPRM Kelantan Pro-Pas: Siasatan Kes Nik Aziz Terbengkalai".
Ketuanya, Anuar Sapian berkata, pergerakan tersebut membuat laporan itu kerana mahu SPRM menyiasat dakwaan itu kerana SPRM adalah badan bebas.
Semalam, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahya, berkata SPRM Kelantan selesai menjalankan siasatan kes dakwaan rasuah terhadap Nik Aziz dan kertas siasatan telah diserahkan kepada bahagian pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Zakaria berkata, peruntukan undang-undang adalah jelas dan telus tanpa mengira sesiapa dan tindakan akan dibuat berdasarkan kepada fakta kes yang disiasat SPRM.
Beliau berkata, pihaknya kini menunggu keputusan bahagian pendakwaan sama ada untuk mendakwa atau tidak.
"Sekarang kita tunggu keputusan bahagian pendakwaan sama ada boleh didakwa atau tidak, (kerana) siasatan kita sudah selesai," katanya
Sebelum itu, Mohd Jaafar berkata SPRM Kelantan menerima 426 laporan tahun lalu dan sebanyak 24 kes dibuka kertas siasatan manakala bakinya tiada tindakan lanjut kerana didapati tiada asas.
- Bernama
