MP Nibong Tebal keluar PKR, jadi bebas

tan tee bengAhli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng hari ini mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau mendakwa kini tiada lagi saluran khusus dalam PKR untuk mengemukakan masalah.

"Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah, mereka mengenakan tindakan disiplin terhadap saya tanpa menyiasat aduan yang saya kemukakan," katanya.

Malahan, kata Tan, beliau diberi amaran untuk tidak mengkritik kepimpinan parti dan rakan sekutu secara terbuka.

Tan merupakan antara beberapa pemimpin dalam PKR yang membuat kritikan  dan teguran terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan parti PKR.

"Ini adalah sangat tidak adil kerana saya selalu menyangka kepimpinan Pakatan Rakyat boleh menerima kritikan terbuka dengan tujuan untuk mengatasi sebarang kelemahan dan meraikan perbezaan pendapat.

"Apa yang terjadi membuktikan kepada saya bahawa kepimpinan parti tidak boleh disentuh langsung," katanya ketika membaca kenyataan lima muka surat.

Sehubungan itu, katanya, beliau bercadang untuk mengambil tindakan undang-unadng terhadap Guan Eng, ahli parlimen Jelutong Jeff Ooi dan timbalan ketua menteri, P Ramasamy berhubung dakwaan beliau mencampuri urusan proses tender terbuka.

"Saya telah mengambil inisiatif hadir ke pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk membuat laporan mengenai tohmahan itu.

"Saya percaya itu sudah cukup untuk membuktikan kepada rakyat akan ketelusan saya," katanya.

Sebaliknya, Tan mendakwa sikap Ooi dan Ramasamy yang menurutnya enggan hadir ke pejabat SPRM "membuktikan tembelang sebenar mereka".

Tan juga mendakwa bahawa tohmahan itu bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu sebenar mengenai masalah kepimpinan Guan Eng.

Menurutnya, beliau telah mengambil pendekatan mengkritik dan menegur dasar kepimpinan yang salah, dan bukannya membuat serangan peribadi.

Sebaliknya, dakwa Tan, beliau telah diserang "secara  kotor dan menjijikkan" dengan tujuan untuk menjatuhkan kewibawaannya.

Beliau juga menyuarakan kekesalannya terhadap apa yang didakwanya sikap kepimpinan PKR yang "sanggup mengorbankan maruah dan prinsip parti, hanya kerana mahu memastikan impian ke Putrajaya tercapai".

Malah, dakwanya lagi, mereka sanggup mengambil sikap menutup mata terhadap masalah yang dihadapi PKR Pulau Pinang, yang menurutnya kerana sikap angkuh Guan Eng.

Tan bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail "atas rasa kasih sayang yang mereka tunjukkan kepada saya selama ini."

Bagaimanapun, beliau mendakwa, adalah sangat malang kerana tiada sebarang tindakan jelas yang telah diambil oleh Anwar untuk menyelesaikan masalah dalaman parti dan Pakatan Rakyat yang begitu ketara.

Tan juga mengucapkan  terima kasih kepada ahli biasa DAP Pulau Pinang atas sokongan mereka sebelum dan selepas 8 Mac 2008.

"Saya juga mengambil kesempatan memohon kepada kerajaan persekutuan supaya memberi layanan yang adil dan saksama, dengan menyalurkan peruntukan pembangunan persekutuan kepada kawasan parlimen Nibong Tebal.

"Agar saya dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen dengan berkesan untuk membantu rakyat dan warga yang memerlukannya.

"Rakyat tidak sepatutnya menjadi korban perbezaan politik. Bagi saya, tindakan lebih bermakna daripada cakap-cakap, cakap mesti serupa bikin," tambahnya.

Oleh itu, kata Tan, beliau berharap akan dapat membuktikan kepada rakyat Nibong Tebal "bahawa tindakan saya ini akan membawa faedah dan manfaat kepada mereka".

"Saya tidak rela melihat rakyat Nibong Tebal dinafikan nikmat pembangunan dan membiarkan harapan mereka disia-siakan dengan pelbagai slogan dan retorik kosong," tambahnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.