Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden MCA, Chua mendahului
Diterbitkan:  Mar 5, 2010 10:31 PM
Dikemaskini: Mar 6, 2010 2:22 AM

Walaupun kejutan mengenai peletakan jawatan oleh 21 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA semalam masih dirasai oleh banyak pihak, pencatur kuasa dan pasukan politik dalam parti komponen kedua terbesar dalam BN itu sudah membuat percaturan tentang siapakah yang patut bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan baru MCA 28 Mac ini.

liow at wanita dinner 050310 Peletakan jawatan oleh 21 anggota CC itu yang diumumkan tidak sampai dua hari menjelangnya ulang tahun ke-61 penubuhan MCA, memaksa parti berkenaan mengadakan pemilihan baru dalam tempoh 30 hari seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaannya.

Sumber dalaman MCA berkata adalah menarik untuk memerhatikan bagaimana pelbagai kuasa yang wujud dalam parti itu akan mengatur strategi politik masing-masing dalam tempoh beberapa hari akan datang, terutama berhubung perebutan jawatan presiden, yang pemenangnya, akan mempunyai kuasa pengawalan terhadap pelbagai sumber parti itu, termasuk aset bernilai lebih RM2 bilion.

MCA boleh dikatakan terbahagi kepada sekurang-kurangnya empat kumpulan. Satu kumpulan diketuai presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat, satu lagi diterajui timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, kumpulan ketiga diketuai naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan kumpulan terakhir, yang mempunyai kaitan dengan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting serta abang beliau Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Naib pengerusi MCA Puchong Datuk Theng Book berkata Dr Chua mendapat sokongan paling kuat, dengan sekurang-kurangnya sepertiga daripada anggota perwakilan menyebelahi beliau, manakala anggota perwakilan lain memberi sokongan kepada beberapa pemimpin pilihan masing-masing.

liow and wee secreate talk mca wanita dinner Dalam perkiraan beliau, 20 peratus anggota perwakilan akan menyokong Tee Keat, 30 peratus kepada Liow dan 50 peratus kepada Dr Chua apabila penyokong Ka Chuan memberi sokongan kepada kumpulan Liow.

Sumber parti itu berkata keputusan Dr Chua untuk meletakkan jawatan bersama tujuh anggota CC lain telah membuka gelanggang pertandingan yang memberi peluang sama rata kepada sesiapa saja yang bertanding jawatan presiden.

"Tiada sebarang kumpulan yang boleh menawan atau mengekalkan jawatan presiden, tanpa mendapat sokongan kumpulan lain. Oleh itu, adalah sesuatu yang menarik untuk melihat siapa yang akan bekerja dengan siapa bagi membentuk pakatan pada pemilihan ini.

"Sekiranya Dr Chua mengambil keputusan untuk bertanding jawatan presiden, saya tidak fikir kumpulan Ka Chuan akan menyokong beliau, melainkan beliau menyokong orng lain untuk menjadi presiden parti. Kalau beliau berbuat demikian, siapakah calon yang akan beliau sokong itu?" kata sumber berkenaan.

mca presidential council 260210 Oleh itu, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan sekiranya Dr Chua berpakat dengan kumpulan Liow dan menyokong satu sama lain bagi merebut jawatan presiden atau timbalan presiden dengan meletakkan seorang calon berkecuali seperti naib presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Sekiranya mereka membuat keputusan menyokong Dr Ng, ia merupakan julung kalinya dalam sejarah MCA seorang wanita dicalonkan bagi jawatan itu, tetapi beberapa orang dalam parti itu tetap berhati-hati untuk mengulas sama ada anggota perwakilan, yang sebahagian besarnya adalah lelaki, bersedia menerima wanita sebagai presiden.

"Ada juga kemungkinan bekas presiden parti Tan Sri Ong Ka Ting atau abangnya Datuk Seri Ong Ka Chuan (bekas setiausaha agung) akan dicalonkan bagi merebut jawatan presiden.

Bagaimanapun, semuanya bergantung tentang bagaimana tawar-menawar dan politik kumpulan dijalankan," kata seorang anggota parti.

Penganalisis politik percaya keputusan Dr Chua untuk meletakkan jawatan berpunca daripada hakikat yang beliau tidak boleh bekerjasama lagi dengan Tee Keat dan bukan kerana beliau telah menjalin pakatan dengan Liow.

NONE "Saya percaya bahawa oleh kerana beliau tidak boleh lagi bekerjasama dengan Ong (Tee Keat), satu-satunya jalan keluar yang ada ialah memanggil pemilihan semula. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa gandingan Ong-Chua adalah rapuh," kata penganalisis politik Datuk Cheah See Kian.

Seorang lagi anggota parti berkata tanda-tanda perpecahan mereka sudah ada selama ini. Contohnya, Dr Chua tidak menghadiri beberapa majlis dan sekiranya beliau hadir pun, Dr Chua akan beredar sebelum majlis berkenaan bermula. Dalam beberapa kes, beliau dan Tee Keat tidak akan bertegur sapa.

"Tanda paling ketara ialah semasa MCA mengadakan sambutan Tahun Baru Cina untuk media baru-baru ini, Dr Chua datang awal, tetapi meninggalkan majlis itu sebelum Tee Keat sampai. Satu lagi tandanya ialah apabila Dr Chua menolak tawaran untuk menjadi pengerusi The Star," kata anggota itu.

Selain itu, beberapa pertubuhan media telah dimaklumkan sejak minggu lepas tentang perpecahan itu, yang akan diumumkan sebelum bermulanya mesyuarat agung tahunan, yang pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 7 Mac.

mca agm 181008 counting vote.jpg Anggota parti juga berkata waktu yang dipilih untuk mengumumkan peletakan jawatan itu juga membayangkan pemimpin berkenaan ingin mengambil manfaat daripada 2,400 anggota perwakilan pusat yang ada sekarang dan bukan menunggu cadangan bagi mengadakan pemilihan jawatan presiden dibuat secara terus dilaksanakan kelak, kerana ia akan melebarkan asas pemilihan pada pemilihan parti tahun depan.

Tee Keat telah mengemukakan satu cadangan untuk membuka pengundian bagi pemilihan presiden kepada kumpulan anggota parti dengan lebih meluas, bukan hanya terhad kepada 2,400 anggota perwakilan pusat yang ada sekarang. Cadangan itu akan dibentangkan untuk pengundian pada AGM akan datang.

"Antara perkara yang ingin beliau lakukan sejak menjadi presiden ialah memberi lebih banyak kuasa mengundi kepada anggota peringkat akar umbi dengan meluaskan kuasa mengundi, menjelang pemilihan parti akan datang.

mca agm 181008 audience "Sekiranya wujud kuasa mengundi yang lebih luas berbanding hanya 2,400 anggota perwakilan pusat yang memihak kepada pelbagai pemimpin dan kumpulan, maka Tee Keat akan mempunyai peluang lebih cerah kerana beliau sentiasa dianggap sebagai "Lone Ranger" dalam parti ini," kata seorang anggota parti.

Oleh itu, tanpa wujudnya sistem pemilihan presiden secara langsung, Tee Keat menghadapi tugas berat, melainkan beliau boleh menjamin mendapat sokongan daripada beberapa kumpulan politik dalam parti ini, sama seperti yang berlaku semasa pemilihan MCA pada 2008 apabila beliau memenangi jawatan presiden.

Tetapi apa yang ada sekarang, seperti apa yang dikatakan oleh veteran parti itu Datuk Yap Pian Hon, tidak wujud penjajaran sebenar antara kumpulan yang ada kerana kebanyakan mereka masih dalam proses mengusahakan penjajaran itu.

"Satu-satunya asas yang mereka kongsi bersama ialah untuk mengadakan pemilihan semula bagi badan induk. Apabila pemilihan baru diadakan, ia terbuka kepada semua. Penjajaran boleh berubah lagi demi kepentingan bersama bagi menjamin wujudnya peluang lebih cerah untuk menang dalam pemilihan ini," katanya.

- Bernama

ADS