Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang tahanan ISA warga Yaman - salah seorang daripada 12 orang yang ditahan sejak lebih sebulan lalu-  telah dihantar pulang minggu lalu, kata peguam Syahredzan Johan.

Menurutnya , pelajar bernama Khalid Saleem Mohammed itu telah dihantar pulang pada lalu.

Syahredzan berkata ia berdasarkan kepada faksimili yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri.

"Kita bimbang kesemua tahanan ini akan dihantar pulang sebelum pendengaran kes habeas corpus ke atas mereka pada 10 Mac ini, sedangkan tahanan ini masih belum dapat bertemu dengan peguam," katanya dalam sidang media di pejabat Majlis Peguam di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, peguam bagaimanapun telah berjaya menemui anggota keluarga tahanan berkenaan bagi mendapatkan perintah untuk mewakili mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahredzan berkata, kerajaan juga telah memfailkan satu afidavit bagi membantah pendengaran kes berkenaan di mahkamah.

Bercakap dalam sidang media sama, presiden majlis itu Ragunath Kesavan berkata warga berkenaan perlu diberi layanan selayaknya mengikut peruntukan undang-undang negara.

"Mereka tidak boleh dihantar pulang sebelum diberi peluang untuk mendapat perlindungan undang-undang.

"Masalah setakat ini peguam belum mendapat akses kepada tahanan bawah ISA ini, jadi kami menyeru kerajaan membenarkan akses kepada peguam secepat mungkin untuk bertemu dan menerima arahan selanjutnya secara terperinci daripada tahanan tersebut," katanya.

Jelasnya, hak warga asing itu dilindungi oleh Perkara 5 dalam perlembagaan yang menjamin hak individu berkenaan mendapat akses kepada peguam.

Katanya lagi, penafian kerajaan kepada hak asasi ini merupakan satu tindakan mempermain-mainkan hak tahanan dan juga satu pencabulan undang-undang.

"Kami diberitahu ada kemungkinan besar kesemua tahanan akan dihantar pulang. Apa yang kami bimbang, mereka adalah warga asing tapi mereka tetap dilindungi oleh undang-undang dan perlembagaan negara.

"Jadi proses penghantaran pulang perlu mengikut undang-undang imigresen dan mereka perlu diberi peluang untuk mencabar keputusan menghantar mereka pulang," katanya.

Sembilan daripada 12 yang ditahan itu terdiri daripada seorang rakyat Malaysia, manakala selebihnya rakyat Syria, Yaman, Nigeria dan Jordan.

Dua belas orang tersebut adalah antara 50 orang yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak bulan lalu. Bagaimanapun, 38 daripadanya telah dibebaskan tidak lama kemudian.

Sembilan daripada 12 yang ditahan itu terdiri daripada seorang rakyat Malaysia, manakala selebihnya rakyat Syria, Yaman, Nigeria dan Jordan.

Dua belas orang tersebut adalah antara 50 orang yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak bulan lalu. Bagaimanapun, 38 daripadanya telah dibebaskan tidak lama kemudian.

[Berita lanjut menyusul]

ADS