Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan Pahang: Saya kena teliti kes Kartika
Diterbitkan:  Mar 8, 2010 5:31 PM
Dikemaskini: Mar 9, 2010 2:52 AM

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah baginda akan meneliti dan mendapatkan pandangan serta nasihat daripada penasihat undang-undang terlebih dahulu berhubung pelaksanaan hukuman sebat terhadap bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Sukarno.

Sultan Ahmad bertitah sehingga kini juga, baginda tidak menerima sebarang rayuan daripada Kartika Sari Dewi, 33, yang didapati bersalah kerana meminum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008.

"Sehingga kini saya belum lagi dimaklumkan  atau pun menerima sebarang permohonan darinya (Kartika Sari Dewi) berkaitan perkara itu.

"Saya kena teliti dan mendapat pandangan serta nasihat daripada penasihat undang undang terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu  keputusan," titah baginda kepada pemberita selepas  merasmikan Jambatan Baru Kuala Krau di Temerloh hari ini.

    

NONE Kartika Sari Dewi ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.    

Pada 3 Mac lepas, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda akan mempersembahkan kes Kartika Sari Dewi untuk makluman Sultan Pahang sebelum perkara itu diputuskan, selepas baginda (Tengku Abdullah) mengadakan perjumpaan dengan model sambilan berkenaan.

Menurut Tengku Abdullah, Kartika Sari Dewi mungkin diampunkan oleh Sultan Pahang dan bebas daripada hukuman itu atau akan disebat dalam tempoh terdekat.

    

"Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, Tuanku Sultan (Pahang) mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pengampunan walaupun dia (Kartika Sari Dewi) tidak minta diampunkan (atau membuat rayuan)," titah Tengku Abdullah.

- Bernama

ADS