Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wee lawan Phang, Star: Perbicaraan 5 April
Diterbitkan:  Mar 10, 2010 1:58 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 5 April untuk mendengar permohonan inter-parte oleh Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang Tan Sri Robert Phang ( bawah ) dan akhbar Star daripada terus menerbitkan kenyataan berunsur fitnah mengaitkan beliau dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

NONE Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam Ben Chan, yang mewakili Wee,

memandangkan beliau memerlukan masa untuk membalas afidavit Phang dan Star berkaitan perkara itu.

Mahkamah dijadual mendengar permohonan itu hari ini.

Perlukan masa

Chan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Wee juga memerlukan masa untuk membalas afidavit Phang dan Star dalam permohonan mereka untuk mengetepikan satu injunksi ex-parte yang diperolehnya pada 21 Jan, menghalang Phang daripada mengadakan

atau menganjurkan sidang akhbar pada 22 Jan.

NONE Pada 22 Jan, sidang akhbar Phang bagi memberi maklum balas kepada cabaran Wee ( kiri ) dihentikan selepas 20 minit apabila peguam Wee muncul dengan perintah injunksi ex-parte.

Chan memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima pernyataan pembelaan Phang  

serta Star semalam dan perlu membalasnya.

Peguam Gobind Singh Deo dan Ang Hean Leng, yang bertindak bagi pihak Phang, dan Yee Mei Ken serta Chai Siew Wan, bagi akhbar Star, tidak membantah permohonan penangguhan itu.

Dr Abraham turut menetapkan hari yang sama bagi mendengar permohonan oleh Phang dan Star untuk mengetepikan perintah injunksi ex-parte dan mengarahkan kedua-dua pihak supaya saling bertukar afidavit sebelum perbicaraan.

Ulasan adil

Pada 9 Feb, Wee memfailkan saman fitnah dengan menamakan Phang, seorang anggota jawatankuasa penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan akhbar harian berbahasa Inggeris itu sebagai defendan berikutan kenyataan yang diterbitkan antara 25 Dis, 2009, dan 12 Jan, 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, Wee, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, mendakwa kenyataan itu difahami untuk membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam atau melakukan kesalahan rasuah dan/atau penyalahgunaan kuasa.

Selain injunksi, beliau turut memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan faedah lapan peratus setahun.

Dalam pernyataan tuntutannya, Phang, 71, yang juga Pengerusi Yayasan Masyarakat Penyayang, berkata kenyataan yang dibuatnya itu merupakan ulasan yang adil dan dilakukan di bawah keistimewaan bersyarat.

Turut mendakwa keistimewaan bersyarat, Star dalam pembelaannya, berkata selaku penerbit berita yang bertanggungjawab, syarikat itu mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk melapor serta menyiarkan berita dan kenyataan membabitkan pembabitan Wee dalam PKFZ memandangkan ia merupakan kepentingan awam dan penting kerana beliau adalah seorang ahli politik serta tokoh masyarakat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS