Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur akan memutuskan pada 14 April ini sama ada membenar atau menolak bantahan awal responden untuk membatal permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.
Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki. Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Anwar ( kiri ) telah memfailkan permohonan qazaf itu pada 7 Januari bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengarahkan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain mendakwa Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf kerana mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR.
Selain Shamsuddin, Anwar turut menamakan dua lagi reponden - pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Jamil Khir Baharom.
Jamil dan dua responden tersebut telah memfailkan bantahan terhadap permohonan qazaf itu pada 9 Februari lalu.
Anwar diwakili oleh Kamar Aniah Kamaruzaman manakala peguam Zainul Rijal Abu Bakar pula mewakili responden.
