Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis pengisytiharan pewartaan semula Hutan Kota Damansara seluas 321.7 hektar sebagai hutan simpan kekal akan berlangsung petang ini.

Ia yang akan berlangsung di Hutan Kota Damansara, Seksyen 10, Kota Damansara, jam 3 petang ini.

Pewartaan tersebut adalah hasil kempen selama lapan tahun oleh sebuah badan bukan kerajaan, Friends of Kota Damansara (FKD).

FKD ialah gabungan 20 persatuan penduduk dan kumpulan alam sekitar yang berkempen supaya Hutan Kota Damansara dimanfaatkan bagi tujuan rekreasi, pendidikan dan penyelidikan.

Asalnya dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Buloh, kawasan hutan itu pertama kali diwartakan pada 1898 meliputi kawasan seluas 6,590 hektar.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ADUN Kota Damansara, Dr Nasir Hashim Ia  berkata keputusan kerajaan negeri Selangor mewartakan kawasan hutan tersebut sebagai suatu kejayaan yang dicapai hasil inisiatif penduduk di sekitar Kota Damansara.

"Kerajaan negeri mengambil berat tentang kehidupan flora dan fauna. Ia (pewartaan) juga sebagai tujuan rekreasi dan untuk kebaikan generasi yang akan datang," katanya.

Menurutnya, penduduk di kawasan tersebut cukup mengambil berat mengenai hutan di situ kerana sebelum ini terdapat projek pembangunan dijalankan di kawasan terbabit.

"Kita hendak kekalkan seperti Taman Negara. Mereka mahukan ia kekal secara semula jadi dan tidak digugat," kata Dr Nasir yang juga pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Ditanya mengenai keistimewaan yang terdapat di kawasan hutan tersebut, beliau berkata terdapat laluan denai untuk  melakukan aktiviti rekreasi seperti aktiviti meredah hutan.

Kerajaan negeri telah mewartakan kawasan tersebut bulan lalu, tambah Dr Hashim.

Ia memegang rekod sebagai hutan tertua diwartakan di Malaysia sehingga 1983 di mana separuh daripada kawasan asal hutan simpan itu digunakan bagi pertanian.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pada 1992, seluas 1,600 hektar diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan bandar Kota Damansara manakala pada 1993, kerajaan negeri memperuntukkan 402.6 hektar daripada kawasan hutan simpan itu bagi taman botani.

Apabila perancangan bagi taman botani dibatalkan dan cadangan pembangunan bagi kawasan itu diterbitkan pada Mei 2002, penduduk mengadakan bantahan pertama.

Pada Disember 2007, Draf Pelan Tempatan Petaling Jaya 2020 mendedahkan hampir seluruh kawasan tersebut diperuntukkan bagi pembangunan perumahan dengan satu kawasan kecil diperuntukkan bagi rekreasi.

Berikutan pewartaan terbaru kawasan itu sebagai Hutan Simpan Kekal oleh kerajaan negeri, maka ia juga diklasifikasikan sebagai kawasan hutan untuk penyelidikan, pendidikan dan rekreasi.

ADS