Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan layan SMS peletakan jawatan MB T'ganu
Diterbitkan:  Mar 13, 2010 7:02 PM
Dikemaskini: Mar 15, 2010 2:23 AM

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta orang ramai supaya tidak melayan sebarang spekulasi melalui SMS berhubung kedudukan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang tersebar dengan meluas sejak akhir-akhir ini.

    

Beliau yang juga menteri dalam negeri tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu melaga-lagakan Umno Perhubungan Terengganu dan menggugat keharmonian badan itu.

    

"Sejak saya turun ke Terengganu, saya menerima SMS dan mendengar cerita dari kedua-dua pihak (dalam Umno) dan pembangkang mengenai kedudukan menteri besar.

    

"Ia bukan datang dari puak-puak dalam Umno negeri, tetapi saya tidak tolak kemungkinan ia dilakukan oleh individu tertentu. Namun ia tidak akan menentukan jatuh bangunnya Umno Terengganu," katanya selepas majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat parlimen Kemaman di Chukai hari ini.

    

Hishammuddin berkata sebagai pengerusi badan perhubungan Umno negeri, beliau hanya mengiktiraf mereka yang diterima rakyat, menjalankan kerja bersunggguh-sungguh dan menolak politik sempit seperti politik peribadi dan bahagian.

    

Beliau turut meminta supaya media tidak mudah terpengaruh dengan khabar-khabar angin dan SMS yang tersebar berhubung perkara itu.

"Kenapa nak percaya SMS sedangkan media berdepan dengan MB hari-hari, kalau MB meletakkan jawatan, beliau tidak akan berada bersama kita hari ini.

    

"Jangan terikut-ikut dengan mereka yang sengaja nak memperalatkan media dan media jangan benarkan mereka memperkudakan (media) supaya kita berlaga,"

 katanya.

- Bernama

ADS