Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hari ini membuat satu laporan polis bagi membersihkan namanya berikutan tuduhan sebuah laman blog yang mendakwanya terlibat dengan rasuah RM2 juta yang sepatutnya digunakan untuk mempromosi produk pelancongan.
Laporan polis itu dibuat oleh setiausaha politiknya, Datuk Wong Ban Seng di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Semalam, Ng dilaporkan berkata laporan polis itu bertujuan mengheret pihak yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Rencana di laman blog 'New Kid On Blog' itu mendakwa Ng menggunakan kedudukan sebagai menteri pelancongan memberikan kontrak untuk mempromosi produk pelancongan kepada sebuah syarikat milik rakan baik anaknya.
Selain itu, ia turut mendakwa Ng mahu program kempen media pelancongan disegerakan untuk menggunakan wang terbabit bagi tujuan peribadi iaitu pemilihan MCA pada 28 Mac ini.
Ng menjelaskan bahawa kontrak untuk program kempen media itu belum diputuskan untuk diberikan kepada mana-mana syarikat kerana ia masih dalam perbincangan.
Katanya, semua tuduhan terhadapnya di dalam blog itu adalah tidak benar dan akan mengarahkan peguam mengesan penulisnya.
