Setiausaha Parti Keadilan Rakyat negeri Selangor, Hamidi Hassan menafikan laporan yang mendakwa 50 ahli parti itu di Kuala Selangor meninggalkan mesyuarat agung tahunan (AGM) bahagian itu pada Ahad lalu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Hamidi berkata, sepanjang pemerhatiannya, mereka yang mendakwa meninggalkan mesyuarat itu tidak berada dalam Dewan Orang Ramai Sungai Buloh, tempat berlangsungnya mesyuarat berkenaan.
“Oleh itu, kejadian meninggalkan dewan oleh ahli PKR ketika mesyuarat berlangsung tidak pernah berlaku,” katanya.
Sebelum ini, beberapa media melaporkan seramai 50 ahli PKR bahagian Kuala Selangor memulaukan AGM berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan cara mesyuarat itu dikendalikan.
Ia termasuk ketiadaan notis mesyuarat.
Menurut Hamidi, notis mesyuarat bertarikh 25 Februari 2010 sudah pun diedarkan kepada semua ahli PKR bagi menghadiri mesyuarat itu.
“PKR bahagian Kuala Selangor juga mengambil inisiatif mengeluarkan iklan di sebuah akhbar bagi memastikan semua ahli maklum tentang tarikh dan tempat mesyuarat,” katanya.
