Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan telah menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (
kiri
), keputusan itu dicapai kerana rakayt tidak seharusnya dipaksa untuk keluar mengundi.
Katanya, kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar kerelaan mereka
"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan 'freedom of association, freedom of expression and freedom to make decision'. Kita anggap jika mereka tak mahu daftar, itu salah satu pilihan mereka untuk tidak mahu ambil bahagian," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Fong Po Kuan ( bawah ).
Ahli parlimen DAP dari Batu Gajah itu dalam soalannya bertanya tentang pendirian kerajaan berhubung cadangan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 16 Mac untuk mendaftarkan pemilih secara automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi.
“Kita tak boleh paksa dalam pilihan raya, walaupun memaksa rakyat adalah cara pembangkang,” katanya sambil menyindir MP Pakatan Rakyat.
Nazri juga berkata kerajaan tidak akan merendahkan kelayakan umur untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, walaupun mereka yang berusia l8 tahun ke atas bebas menyertai parti politik.
“Walaupun ada yang mengatakan, jika seseorang itu sudah matang untuk berkahwin, maka dia juga sudah matang untuk mengundi. Namun tindakan itu umpama membuka kotak Pandora,” kata MP Padang Renggas itu.
Sementara itu, Nazri berkata kerajaan akan terus meningkatkan usaha-usaha menggalakkan rakyat mendaftar sebagai pengundi terutamanya dari golongan muda.
Menurutnya selain mengadakan promosi melalui iklan, kerajaan turut mengadakan pendaftaran secara berkala secara bulanan dan juga sepanjang masa di pusat-pusat pendaftaran di seluruh negara.
"Kalau remaja tak mahu datang ke pusat daftar, maka kita akan bawa pusat itu kepada mereka di tempat-tempat keramaian seperti di pusat beli-belah," katanya.
101 aduan kandungan laman web
Dewa
n Rakyat juga diberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 101 aduan berhubung kandungan laman web atau blog mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi tempoh Januari hingga 23 Feb lalu.
Bernama melaporkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim ( kanan ) berkata terdapat 58 aduan bagi kandungan lucah dan 43 aduan bagi kandungan mengancam serta jelik, termasuk laman web atau blog yang menghina sultan.
Daripada jumlah itu, 15 kes aduan sedang disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) manakala 63 kes disiasat kerana kesalahan melanggar pelbagai akta.
