Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Pegawai awam makin berani lapor rasuah
Diterbitkan:  Mar 20, 2010 1:05 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Skala gaji yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi bukanlah merupakan faktor utama berlakunya rasuah di kalangan kakitangan kumpulan sokongan perkhidmatan awam, menurut kajian yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya kajian itu mendapati amalan rasuah lebih berpunca akibat kelemahan dalam diri individu sendiri seperti sikap tamak, ingin cepat kaya, berbelanja melebihi pendapatan dan mengamalkan gaya hidup mewah.

Selain itu, kelemahan dalaman sesebuah organisasi akibat kepimpinan yang lemah, sistem dan prosedur yang tidak telus, kerenah birokrasi serta kuasa budi bicara yang luas menyebabkan ruang dan peluang rasuah semakin terbuka.

Apakah benar wujudnya peningkatan kes-kes rasuah di kalangan penjawat awam?

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya berkata berdasarkan perangkaan tangkapan ke atas penjawat awam bagi tahun 2007, 2008 dan 2009, kes-kes rasuah yang melibatkan golongan itu didapati semakin menurun.

Beliau berkata ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa tahap integriti serta kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah semakin meningkat.

Pada 2007, katanya, daripada sejumlah 591 orang yang ditangkap atas kesalahan rasuah, seramai 303 atau 51 peratus daripada mereka adalah penjawat awam.

Bilangan itu menurun pada tahun 2008, iaitu hanya 282 orang atau 47 peratus berbanding keseluruhan tangkapan sebanyak 605 orang.

80 tampil setiap tahun

Penurunan jelas ketara dalam tahun 2009 apabila hanya 194 penjawat awam yang ditangkap iaitu 39 peratus daripada jumlah tangkapan seramai 500 orang.

Daripada segi perangkaan jumlah pertuduhan kes-kes rasuah terhadap penjawat awam juga menunjukkan trend penurunan yang ketara bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

    

Pada 2007, terdapat 133 pertuduhan ke atas penjawat awam, menurun kepada 104 pertuduhan dalam tahun 2008 dan menurun lagi kepada hanya 90 pertuduhan dalam tahun 2009.

Ini jelas memperlihatkan bahawa tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab memerangi jenayah itu semakin meningkat.

Faktor-faktor yang membawa kepada peningkatan itu adalah berasaskan kepada program-program yang diperkenalkan kerajaan termasuk aktiviti kesedaran yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.

Selain itu, pelaksanaan Modul Pencegahan Rasuah dalam kursus-kursus induksi dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai awam, dasar-dasar semasa kerajaan termasuk  meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan serta penubuhan Jawatankuasa Tadbir Urus Terbaik (JKTU).

Di atas peningkatan dalam tahap kesedaran ini, pegawai-pegawai awam sendiri telah berani tampil melaporkan tawaran rasuah sehingga membawa kepada tangkapan ke atas pemberi-pemberi rasuah, kata Ahmad Khusairi.

Ahmad Khusairi berkata sebagai contoh pada 2007, seramai 89 penjawat awam tampil melaporkan tawaran rasuah, 81 orang (2008) dan 79 orang pada tahun lepas.

Kempen antirasuah besar-besaran

Beliau berkata sepanjang tiga bulan tahun ini, seramai 14 penjawat awam telah tampil membuat aduan terhadap tawaran rasuah.

"Ini menunjukkan satu trend yang amat membanggakan di mana tahap integriti yang dilaung-laungkan kerajaan selama ini telah semakin menjadi kenyataan," katanya.

Selaras dengan perkembangan ini juga, beliau berkata SPRM akan melaksanakan kempen anti-rasuah secara besar-besaran bagi menangkap pemberi-pemberi rasuah yang cuba menawarkan suapan rasuah kepada penjawat awam.

Pegawai awam juga sentiasa diingatkan mengenai kewajipan mereka melaporkan apa-apa suapan rasuah sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM.

    

Jika gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, kata Ahmad Khusairi.

Sehubungan itu, beliau berkata SPRM memberi amaran tegas kepada orang ramai agar menjauhi amalan menyogok kakitangan awam.

"Sekiranya tertangkap, hukuman berat pasti menanti anda termasuk dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi," katanya.

Secara kesimpulannya, rasuah adalah nadi kepada kebinasaan sesuatu bangsa dan amalan tidak bermoral itu adalah "ibu" kepada kejatuhan sesebuah negara.

Selaras dengan aspirasi SPRM untuk meningkatkan keyakinan dan memperbaiki persepsi masyarakat Malaysia dan antarabangsa ke atas keberkesanan SPRM dalam pencegahan rasuah berasaskan prinsip ketelusan, kebebasan dan profesionalisme marilah semua masyarakat bersatu melakukan perubahan dan memerangi jenayah

rasuah.

- Bernama

ADS