Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ka Ting: Saya tidak ada puak
Diterbitkan:  Mar 21, 2010 7:32 PM
Dikemaskini: Mar 22, 2010 2:28 AM

Bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting berkata beliau tidak mempunyai puak tersendiri dalam usaha untuk bertanding jawatan presiden parti pada 28 Mac ini.

    

Sambil menegaskan beliau tidak akan bergabung dengan sesiapa bagi mewujudkan puak, Ong berkata beliau amat mengalu-alukan sesiapa yang menyokong usahanya untuk menyatupadukan semula parti.

    

ong ka ting interview 200310 06 "Kalau ada orang menyokong saya, ia tidak bermakna saya menubuh puak. Saya tidak ada puak, saya adalah untuk parti MCA... kalau kata puak, puak itu adalah puak MCA pada keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan perwakilan MCA Melaka hari ini.

    

Penamaan calon dijadual berlangsung esok dan pemilihan pada 28 Mac ini.

Ong berkata sekiranya beliau dipilih sebagai presiden parti, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana calon yang dipilih oleh perwakilan termasuk timbalan presiden dan naib presiden.

"Peranan saya ialah untuk menyatupadukan semua pihak dalam MCA maka sesiapa yang dipilih oleh perwakilan tidak akan menjadi masalah bagi saya untuk bekerjasama dengan mereka.

    

"Walaupun dalam proses pemilihan itu mungkin ada calon yang lebih menyokong saya dan ada yang mungkin tidak berapa setuju dengan saya," katanya.

Beliau yang mengakui kesuntukan masa untuk menjelajah ke seluruh negara untuk berkempen, berkata kebanyakan pemimpin sedia ada pernah bekerjasama dengannya semasa beliau menjadi presiden parti.

    

"Mereka ini tidak asing lagi dengan saya, kami ada pengalaman bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

Beliau mendakwa langkah beliau untuk bertanding jawatan presiden parti semakin mendapat sambutan baik daripada perwakilan dan anggota parti.

"Sebelum ini, saya tidak pernah umumkan pendirian saya maka ramai perwakilan tidak mempunyai pilihan yang lain atau pun tidak ada pilihan baru. Bila saya umum selepas itu dalam dua tiga hari ini, saya sudah mula rasa ada perwakilan yang dahulunya belum kata apa apa sekarang sudah menyuarakan hasrat mereka untuk menyokong saya," katanya.

    

Ong berkata misi beliau ialah untuk menyatupadukan semula anggota parti dengan menstabilkan MCA dengan segera.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS