Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat tidak risau dengan spekulasi media mengatakan beliau mungkin tidak mendapat cukup peratusan sokongan untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti 28 Mac ini.
Menurutnya, jumlah mereka yang hadir untuk perhimpunan yang dianjurkan oleh calon yang bertanding tidak harus dijadikan kayu pengukur bagi menilai sokongan.
"Saya rasa ia bukan satu penanda aras sekiranya pihak tertentu menilai kekuatan mana-mana calon berdasarkan jumlah mereka yang hadir majlis makan tengah hari tertentu atau perhimpunan makan malam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli MCA Johor di Yong Peng hari ini, lapor Bernama.
Ong berkata beliau percaya sebahagian delegasi yang akan mengundi, memilih untuk tidak menghadiri mana-mana majlis tetapi ini tidak bermakna mereka tidak mempunyai pendirian.
Menteri Pengangkutan itu berkata spekulasi media adalah sebahagian daripada perang psikologi dalam pertandingan dan oleh itu beliau yakin perwakilan akan membuat pilihan yang tepat.
Katanya sasaran utamanya kini adalah untuk menceritakan kepada delegasi dan bukan delegasi cerita sebenar kejadian yang membawa kepada senario dalam parti sekarang dan bagaimana kuasa atau tangan tersembunyi telah terlibat.
Beliau berkata setakat ini penerangannya hanya berdasarkan fakta tanpa membuat sebarang kesimpulan kerana pendekatan beliau bukan secara berkonfrontasi.
Mengenai kemungkinan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan presiden, Ong berkata adalah terlalu awal untuk membuat andaian sebelum hari penamaan calon esok.
