Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hilang bagasi: MAS diperintah bayar ganti rugi
Diterbitkan:  Mar 22, 2010 5:00 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Mahkamah Majistret Sivil Shah Alam hari ini memerintahkan Sistem Penerbangan Malaysia Bhd (MAS) membayar ganti rugi berjumlah RM9,675 kepada seorang penumpangnya yang kehilangan bagasi di tempat pengambilan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, empat tahun lalu.

stranded bangladeshis klia 030305 baggages 01 Majistret Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan ganti rugi yang difailkan seorang pengurus syarikat penerbangan, Kang Guat Pheng, 51, dari Kuantan, Pahang pada 30 Mei 2007.

"Selepas mendengar keterangan saksi, hujahan kedua-dua pihak dan nas undang-undang yang dikemukakan, mahkamah putuskan untuk membenarkan permohonan plaintif (Kang) seperti yang dipohon dalam tuntutan. “Mahkamah juga memerintahkan defendan (Mas) membayar kos dan faedah lapan peratus setahun atas tuntutan plaintif bermula dari tarikh penghakiman hari ini sehingga tarikh penyelesaian sepenuhnya," katanya.

Sepanjang perbicaraan, Kang yang diwakili peguam Zaidi Abdul Hamid mengemukakan dua orang saksi sementara MAS yang diwakili peguam Hariharan Tara Singh memanggil tiga orang saksi.

klia airport 141105 mas aircraft at the terminal Dalam pernyataan tuntutannya, Kang mendakwa 26 Disember 2006 beliau menaiki penerbangan MAS dari Bandar Ho Chi Minh, Vietnam ke KLIA dan dalam penerbangan itu beliau turut mendaftarkan sebuah bagasi seberat 10kg.

Kang mendakwa apabila tiba di KLIA, beliau mendapati bagasi miliknya hilang di tempat pengambilan bagasi menyebabkan beliau menanggung kerugian kerana kehilangan barangan peribadi bernilai RM9,675.

Plaintif berkata, beliau mengalami kesusahan dan tekanan akibat kehilangan bagasi dan harta benda kesayangan yang tidak dapat dijumpai sehingga hari ini walaupun ia telah dilaporkan kepada pihak MAS serta merta pada hari kejadian.

klia airport 290804 interior departure hall Sehubungan itu, Kang menuntut ganti rugi khas berjumlah RM9,675, faedah lapan peratus setahun dari 26 Disember 2006 sehingga tarikh kes selesai sepenuhnya, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

MAS sebelum ini dalam pembelaannya, antara lain mendakwa Kang tidak mengisytiharkan harta bendanya yang berharga sebelum penerbangan itu.

Syarikat penerbangan itu dalam pembelaannya juga berkata, pihaknya ada menawarkan kepada Kang untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$300 bagi kehilangan beg beliau tetapi plaintif tidak bersetuju dengan jumlah yang ditawarkan dan membawa kes itu ke mahkamah.

- Bernama

ADS