Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan nafi sekolah jenis kebangsaan dianaktiri
Diterbitkan:  Mar 30, 2010 5:46 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan bahawa kerajaan selama ini telah menganaktirikan sekolah dari aliran jenis kebangsaan yang terdapat di negara ini.

Beliau turut menyifatkan tuduhan yang dilemparkan M manogaran Manogaran (DAP-Teluk Intan) sebagai "amat melulu" kerana sekolah aliran tersebut sudahpun menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

"Sebab itu, kerajaan juga membiayai RM1.8 bilion untuk bayar gaji guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina. Kalau di negeri Pulau Pinang ada Ketua Menteri umumkan (bantuan) dua tiga juta, seluruh dunia gempar, yang kita belanja RM1.8 bilion Yang Berhormat untuk bantu sekolah itu.

"Jadi, kalau anak tiri, takkan bagi duit macam gitu banyak," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

NONE Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah aliran berkenaan juga telah menjadi legasi rakyat Malaysia sejajar dengan peralihan dan perubahan yang telah dialami negara sejak mencapai kemerdekaan.

Manogaran ingin tahu bila Kementerian Pelajaran boleh menganggap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sebagai sekolah aliran perdana dalam sistem pendidikan di negara ini.

"Kita perlu ambil kira sumbangan Sekolah Jenis Kebangsaan ini ...(ia) setaraf dengan Sekolah Kebangsaan...sebab itu 70,000 bukan Cina pergi ke Sekolah Cina, ini menunjukkan mutu pendidikan yang ditawarkan di sekolah ini walaupun dianaktirikan selama ini, diiktiraf oleh sebahagian ibu bapa," katanya ketika mencelah ucapan penggulungan Muhyiddin.

Manogaran turut membangkitkan isu mengapa bahasa dan kesusasteraan Tamil serta Cina dianggap sebagai bahasa tambahan.

"Adakah ini selaras dengan konsep 1Malaysia, kita selalu tengok bahasa Tamil (dan) bahasa Cina selalu dianaktirikan," katanya.

Muhyiddin berkata perkara itu tidak benar kerana pelajar tidak pernah disekat daripada mempelajari kedua-dua bahasa itu di sekolah.

selangor state government allocation fund to tamil schools 251108 04 "Bukan kita buat anak tiri, kita tak pernah sekat, mereka nak belajar, kita didik, kita bantu, kita sediakan guru, kita sediakan peruntukan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, adalah tidak adil jika Anggota Parlimen pembangkang itu mahu menyamatarafkan bahasa Melayu yang dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan dengan bahasa Tamil dan Cina.

"Itu tidak adil, malahan bercanggah dengan Akta Pelajaran Kebangsaan dan Perlembagaan kerana dasar kita sudah jelas dan dasar ini digubal, dibawa ke dalam Parlimen dan diluluskan akta, di mana martabat bahasa Melayu tak sama dengan bahasa Cina dan Tamil," katanya.

Muhyiddin berkata ini tidak bermakna kerajaan mahu menganaktirikan kedua-dua bahasa berkenaan.

"Itu adalah sesuatu yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan dan kita menjunjung Perlembagaan, jadi kita harus terima hakikat adanya perbezaan itu," katanya.

- Bernama

ADS