Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Pertahanan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM6.47 bilion kepada sebuah syarikat tempatan untuk membekalkan rangsum  (catuan makanan) segar kepada anggota tentera, demikian menurut portal 'MyProcurement' yang baru diwujudkan oleh kerajaan.

Mengulas mengenai perkara itu, ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, portal berkenaan mungkin memberikan maklumat  salah kerana kontrak itu tidak mungkin bernilai sebanyak itu.

military malaysia army tentera 131106 training "Jumlah ini cukup untuk beli empat buah kapal selam. Tapi saya  cenderung untuk percaya ada kesilapan meletakkan titik  perpuluhan," katanya kepada pemberita di bangunan parlimen  hari ini.

Portal MyProcurement merupakan pusat maklumat perolehan kerajaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pua melahirkan kekecewaannya terhadap portal MyProcurement yang didakwanya tidak mengandungi maklumat lengkap dan berguna kepada rakyat.

Satu lagi contoh yang diperhatikannya ialah kontrak untuk  membekalkan perisai badan kepada tentera bernilai RM82.3 bilion  tanpa menyebut butiran lain.

"Itu yang saya perhatikan sepintas lalu sahaja," katanya lagi  yang meminta kerajaan supaya benar-benar mencontohi  kerajaan Singapura dalam membina portal pemerolehan seperti  itu.

Katanya lagi, portal GeBiz oleh Singapura mempunyai lebih  banyak maklumat, termasuk jumlah pembida dan juga bidaan  alternatif oleh setiap pembida berkenaan.

Beliau mempertikaikan sama ada kerajaan bersungguh-sungguh  untuk membina portal berkenaan.

Tony juga mempertikaikan 38 kontrak yang dimuatkan dalam  laman tersebut, yang tidak menyebut nama syarikat terbabit.

"Portal ini juga tidak menyediakan maklumat asas seperti tarikh  tender, tarikh dianugerahkan, dan bilangan (kontraktor) yang  mengambil bahagian," katanya.

Tambahnya, masalah paling besar dalam sistem perolehan kerajaan ialah kontrak yang diberikan secara rundingan terus.

"Kontrak seperti ini biasanya diberikan secara kroni kepada ali  baba, menyebabkan bukan sahaja pembaziran tetapi juga projek  yang berstandard rendah atau gagal," katanya.

[Baca berita penuh]

ADS