Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amaran tsunami di pantai barat ditarik balik
Diterbitkan:  Apr 7, 2010 8:46 AM
Dikemaskini: 6:46 AM

Jabatan Kajicuaca Malaysia telah mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Perlis, Pulau Pinang dan Kedah ekoran gempa bumi dengan kekuatan 7.5 skala Richter yang melanda Utara Sementara - 448km di barat daya Pulau Pangkor.

sumatra earthquake 300909 Berikutan itu, orang ramai diarahkan supaya menjauhi kawasan pantai.

Bagaimanapun lebih sejam kemudiannya, jabatan berkenaan kemudiannya menarik balik amaran tsunami tersebut.

Agensi berita Associate Press (AP) memetik jabatan geologi AS sebagai berkata gempa bumi itu berlaku pada jam 5.15 pagi dan berpusat di 205km ke barat laut Sibolga di Sumatra pada kedalaman 46km.

Agensi Kajicuaca dan Geofizik Indonesia telah mengeluarkan amaran tsunami ekoran gempa bumi tetapi membatalkannya beberapa jam kemudiannya.

Manakala gegaran gempa bumi tersebut dilaporkan turut dirasai oleh penduduk yang tinggal di pangsapuri dan bangunan tinggi di Petaling Jaya serta di utara Semenanjung.

Di Alor Star, Bernama melaporkan gegaran gempa bumi itu dirasai di Kota Kuala Muda, kawasan nelayan yang dilanda tsunami pada Disember 2005.

   

Menurut saksi, kejadian itu tidak menyebabkan panik berikutan siren amaran tsunami yang dipasang oleh Jabatan Meteoroloji berdekatan pantai Kota Kuala Muda tidak dibunyikan.

Gempa tersebut berlaku pada kedudukan 75 kilometer ke Tenggara Sinabang, berkedalaman 34 kilometer di bawah permukaan laut kira-kira 5.15 pagi ini waktu tempatan, dipercayai turut dirasai di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

   

Pengerusi Taman Permatang Katong (penempatan mangsa tusnami 2005), Yusoof Awang berkata beliau turut merasai gegaran itu semasa bersiap untuk ke laut menangkap ikan.

"Beberapa rakan nelayan yang berada di tepi pantai merasai gegaran akibat gempa itu kira-kira pukul 6.15 pagi dan menelefon memberitahu saya mengenai kejadian itu," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Yusoof berkata beliau bergegas ke tepi pantai untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu sebelum menelefon nelayan-nelayan yang telah pun turun ke laut supaya pulang sebagai langkah keselamatan jika berlaku ombak besar.

"Ada yang baru melabuh pukat terus mengarau pukat... yang telah melabuh pukat memperoleh sedikit tangkapan. Kira-kira pukul 9 pagi ramai antara mereka tiba di pantai," katanya.

Sementara itu, seorang penghuni Taman Permatang Katong, Salmah Ismail, 75, berkata beliau merasai gegaran semasa dalam perjalanan ke surau taman itu kira-kira 6.15 pagi.

"Gegaran dirasai di sekitar kawasan rumah. Mulanya saya rasa cemas namun menjadi tenang dalam beberapa saat apabila keadaan kembali normal," kata mangsa tsunami pada 2005 itu.

Seorang lagi penduduk Tan Hock Wei, 35, yang tinggal di tingkat 13, berkata beliau merasa gegaran itu dua kali iaitu pukul 6.17 pagi dan 6.20 pagi.

"Waktu itu saya sedang bersiap-siap untuk keluar berniaga ikan di pasar dan apabila merasa gegaran, saya lihat ke bawah dan ramai orang telah berkumpul, lepas itu saya dan isteri juga turun," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu pemberita di sini, kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda daripada penduduk di negeri ini.

   

"Kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa bumi atau tsunami dan saya juga telah mengarahkan pihak berkaitan untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Lim sebelum itu mendengar taklimat daripada Pengarah Meteorologi Wilayah Utara Loh Eng Kee mengenai kejadian gempa bumi yang berlaku di Sinabang, Aceh pagi ini.

Di Pulau Pinang, kira-kira 500 penduduk di beberapa rumah pangsa Taman Pelangi, Lebuh Macallum bergegas turun dari rumah selepas merasai bangunan rumah mereka bergoyang ekoran gempa bumi itu.

Mereka merasai gegaran itu pada pukul 6.15 pagi dan meluru keluar untuk menyelamatkan diri.

   

Salah seorang penduduk, M Mohana, 48, berkata semasa kejadian beliau baru bangun tidur dan merasa gegaran sehingga badannya bergoyang-goyang.

   

"Pada mulanya saya rasa kepala pening dan badan bergoyang-goyang, saya ingat penyakit darah tinggi menyerang bagaimanapun dalam masa yang sama kipas siling dan beberapa barangan dalam rumah bergerak dengan sendiri," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau yang tinggal di tingkat tiga rumah pangsa itu, berkata kerana bimbangkan sesuatu yang buruk berlaku, beliau mengejutkan tujuh anggota keluarganya untuk keluar dari rumah dan mendapati beratus-ratus penghuni lain telah pun turun ke bawah. 

ADS