Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan pelajar bioteknogi Universiti Industri Selangor (Unisel) berdemonstrasi di di Shah Alam bagi membantah tindakan universiti milik kerajaan Selangor itu memindahkan fakulti mereka ke kampus lain.

Kira-kira 50 pelajar daripada kampus Shah Alam itu yang lengkap berpakaian makmal, berkumpul di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri kira-kira jam 10 pagi tadi.

NONE Mereka berhasrat menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim supaya membatalkan keputusan Unisel yang mahu memindahkan fakulti bioteknoginya ke kampus utama di Bestari Jaya.

Memorandum tersebut berjaya diserahkan oleh seorang pemimpin pelajarnya kepada setiausaha politik kepada menteri besar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Seorang pegawai universiti berkenaan ketika dihubungi mengesahkan mengenai demonstrasi pelajar tersebut.

Tambahnya, pihak universiti dijangka mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kontroversi tersebut petang ini.

Malaysiakini difahamkan, Unisel memutuskan memindahkan mahasiswa daripada Shah Alam ke Bestari Jaya kerana kampus induknya itu mempunyai lebih banyak kemudahan.

Memo: Pemindahan bermasalah, kurang sempurna

Tambahan lagi, keluasan kampus Shah Alam yang kecil tidak dapat lagi menampung bilangan pelajarnya yang semakin meningkat. Pemindahan pelajar bioteknologi itu dijadual bermula Jun ini.

Manakala kumpulan mahasiswa pula difahamkan membantah arahan Unisel kerana kampus induknya berkenaan terletak agak jauh daripada bandar.

Sementara itu, Nik Nazmi ketika dihubungi berkata, beliau akan akan menyerahkan memorandum tersebut kepada menteri besar untuk tindakan segera.

Beliau yang juga Adun Seri Setia berkata, memorandum daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti Bioteknologi dan Sains Hayat (PMFBSH) itu antaranya meminta Khalid campurtangan bagi menyelesaikan isu berbangkit itu.

Menurut Nik Nazmi lagi, memorandum itu juga antaranya mendakwa pemindahan tersebut "bermasalah" dan dijalankan secara "kurang sempurna".

Beliau bagaimanapun tidak dapat menjelaskan butiran lanjut aduan PMFBSH kerana belum habis meneliti memorandum setebal kira-kira 30 halaman itu - yang turut melampir tandatangan pelajarnya.

"Kita tengok dulu apa yang dapat kita buat. Kita siasat dahulu sama ada dakwaan mereka itu mempunyai asas. Apa yang boleh bantu, kita bantu," katanya.

Usaha Malaysiakini mendapat komen daripada PMFBSH setakat ini belum berhasil.

ADS