Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Samy Vellu terima pencalonan Kamalanathan
Diterbitkan:  Apr 15, 2010 8:51 PM
Dikemaskini: Apr 16, 2010 2:56 AM

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata beliau menerima dengan hati terbuka calon yang dinamakan oleh BN untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

    

Beliau berkata keputusan untuk menamakan ketua penerangan MIC, P Kamalanathan sebagai calon pilihan raya kecil itu diperakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti menghormatinya.

    

"Kamalanathan calon yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu memandangkan beliau berpendidikan tinggi dan juga fasih dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan Tamil," katanya, lapor Bernama.

    

"Beliau turut terbabit dalam banyak aktiviti sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan selama bertahun-tahun dan ini akan memberi beliau peluang mendapatkan pendekatan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

    

"Saya hanya boleh mencadangkan seorang calon namun keputusan muktamad terletak dalam tangan perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman pencalonan Kamalanathan untuk pilihan raya kecil itu dekat Hulu Selangor hari ini.

    

Samy Vellu turut memberi jaminan bahawa tidak akan wujud sebarang masalah dengan cawangan MIC setempat, yang dikatakan mengugut untuk menutup operasi jika Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel tidak dicalonkan.

    

"Cawangan MIC akan bekerja keras memandangkan calon itu daripada MIC. Mereka (pemimpin cawangan) biasanya tidak akan sabotaj (dalam perkara berkaitan siapa yang dipilih sebagai calon). Kami dalam MIC belum lagi belajar cara-caranya," katanya.

    

Samy Vellu berkata Najib akan bertemu Palanivel apabila beliau kembali dari Amerika Syarikat bagi menyelesaikan beberapa perkara.

    

"Saya percaya Najib mahu beliau (Palanivel) terus berkhidmat sehingga pilihan raya umum akan datang dan beliau boleh menjadi calon bagi kawasan pilihan raya yang baru.

"Palanivel akan menjadi presiden MIC kemungkinan besar dalam masa 13-14 bulan lagi. Selepas menjadi presiden, beliau akan berpeluang memilih calon untuk mewakili MIC dalam pilihan raya. Barangkali, beliau juga boleh memilih kerusi yang dirasakannya bagus untuk ditandinginya," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mac.

Pencalonan akan diadakan di Kuala Kubu Baru pada Sabtu ini.

ADS