Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan polis terhadap Nizar
Diterbitkan:  Apr 30, 2010 5:17 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Tiga wakil kaum utama di Selangor hari ini membuat laporan polis ke atas ahli parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana didakwa menyampaikan ceramah politik yang berbau hasutan semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

    

Beliau didakwa membuat hasutan itu semasa berceramah di hadapan masyarakat Cina di Kg Baru Kalumpang pada 17 April lepas dan kenyataan beliau mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa di dalam ceramah itu telah dijadikan video klip dan tersebar di internet.

    

Laporan terhadap Mohammad Nizar itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam  pada pukul 1.15 tengah hari tad.

Ia dibuat oleh Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Selangor Zulkarnain Abu Hanit, Pengerusi Majlis Belia India Malaysia Sg Pelek, M Ramesh dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kg Baru Seri Dengkil, Chan Meng Foh.

Zulkarnain mendakwa perbuatan menghasut orang Cina di penempatan Cina adalah perbuatan politik yang melampau dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad Nizar itu didakwanya berniat jahat.

    

"Kalau nak menang pun jangan ganggu keharmonian antara kaum di Hulu  Selangor. Orang luar bawa kebencian boleh membangkitkan masalah antara  masyarakat," dakwanya kepada pemberita.

Ramesh pula berkata beliau tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan Mohammad Nizar dalam ceramah itu kerana ia boleh menimbulkan pergaduhan antara satu bangsa dengan bangsa yang lain.

Chan pula mendakwa kenyataan Mohammad Nizar boleh mengeruhkan hubungan antara kaum dan kerajaan mesti mengambil tindakan tegas.

- Bernama

ADS