Harga getah dijangka jatuh

Harga getah Malaysia dijangka lebih rendah pada minggu depan kerana kekurangan permintaan berikutan cakap-cakap mengenai kekurangan bekalan dan cuti umum akan datang di Jepun dan China, kata para peniaga.

Bagaimana pun, para peserta kemungkinan memilih untuk melengahkan pembelian baharu dan kekal di luar pasaran sehingga harga mulai turun.

Bagi minggu yang baru berakhir, harga getah menjejaki penurunan mendadak di Bursa Komoditi Tokyo yang menyaksikan kontrak penanda aras turun di bawah paras sokongan 300 yen.

Ini menyebabkan arus jualan pada pasaran Jepun yang dirangsang oleh peserta yang mahu melupuskan kedudukan masing-masing sebelum cuti umum.

Berasaskan minggu ke minggu, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR20 merosot 51.5 sen kepada 1,009.5 sen sekg daripada 1,061.0 sen sekg Jumaat lepas manakala harga lateks pukal merosot kepada 17.5 sen kepada 757.0 sen sekg daripada 774.5 sen sekg sebelum ini.

Harga penutup tidak rasmi bagi SMR20 turun 57.0 sen kepada 1,001.0 sen sekg daripada 1,058.0 sen sekg pada minggu lepas dan harga lateks pukal turun 20.5 sen kepada 774.0 sen sekg daripada 753.5 sen sekg pada Jumaat lepas.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.