Ketua pembangkang di DUN Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Sebaliknya, kata beliau, beliau mengutamakan dan menghargai tahap perpaduan, keharmonian dan keamanan "yang telah wujud sekian lama di bawah pemerintahan BN".
"Saya telah menarik balik kenyataan tersebut dalam DUN dengan serta merta semalam dan telah diterima oleh Speaker.
"Tindakan menarik balik kenyataan itu direkod dalam hansard (rekod rasmi persidangan) DUN yang boleh diperolehi oleh masyarakat umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga ADUN Penaga, merujuk kepada kenyataannya mengenai ungkapan Mei 13 yang dibuatnya dalam DUN semalam.
Azhar dilaporkan berkata bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika rakyat hilang keyakinan dengan pihak berkuasa dan sistem sedia ada.
Berucap di sessi DUN semalam - mengulas bidasan orang ramai berhubung kematian remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis - Azhar menyoal sama ada rakyat mahu tentera mengambil alih negara memandangkan polis didakwa tidak lagi berkesan.
Sehubungan itu ADUN Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat berhimpun di Dataran Pidato hari ini bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka berhubung kenyataan Azhar itu yang didakwa berbaur perkauman dan hasutan.
Laporan polis juga dibuat terhadap Azhar (BN-Penaga) di balai polis Lebuh Pantai hari ini, meskipun beliau akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang mungkin menyaksikan beliau digantung daripada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.
Meskipun Azhar telah menarik balik kenyataannya itu setelah diminta berbuat demikian oleh speaker, Abdul Halim Hussain, namun Pemuda PKR, Syed Mikael Rizal Aidi meminta polis menyiasat kenyataan tersebut.
