Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mempelawa Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) untuk duduk semeja bagi merangka perjuangan menuntut tanah hakmilik Melayu yang didakwanya telah teraniaya dan tergadai semasa pemerintahan Umno/BN di negeri itu sebelum ini.
Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berharap PERKASA menyahut seruan ini "agar hak dan kepentingan Melayu yang dikatakan hilang boleh dikembalikan."
"Justeru, AMK Selangor menggesa PERKASA bersama-sama membongkar dan berusaha memperjuangkan nasib tanah rizab Melayu, perumahan rakyat terbengkalai, setinggan, rumah rakyat yang dirobohkan tanpa sebab serta pelbagai isu lain.
"Kita amat menyedari selama ini, di Selangor yang pernah ditadbir oleh Umno/BN selama 50 tahun, telah banyak rumah, tanah dan hak kepentingan Melayu yang secara rakusnya dirampas atas nama pembangunan," kata Khairul Anuar dalam satu kenyataan hari ini.
"Malahan,AMK Selangor mengajak PERKASA agar tampil sebagai NGO yang bertanggungjawab serta tidak menjadi kuda tunggangan mana-mana pihak berkepentingan politik sempit .
"Kita yakin, PERKASA berani menyahut cabaran ini, jika tidak, (maka akan) hilang wibawa yang selama ini mereka mahu tonjolkan sebagai kononnya memperjuangkan hak bumiputera," tegasnya lagi.
Sehubungan itu, Khairul Anuar menegaskan bahawa AMK Selangor akan terus berjuang untuk semua kepentingan rakyat dan keadilan pelbagai agama dan bangsa di negara ini.
"Malahan, kita tidak meminggirkan mana-mana bangsa di negara ini kerana kita yakin kepelbagaian antara bangsa adalah kekuatan unik untuk membawa negara ini lebih hebat dan makmur," tambahnya.
