Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masalah dokumen Sabah, Sarawak selesai 2011
Diterbitkan:  May 14, 2010 3:51 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mensasarkan untuk menyelesaikan masalah penduduk tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah dan Sarawak menjelang penghujung tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

NONE Katanya tempoh dua tahun itu adalah untuk membolehkan pelbagai proses seperti pendaftaran permohonan dan semakan taraf kerakyatan dilaksanakan terlebih dahulu.

"Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) di Sabah dan Sarawak agar lebih proaktif, melalui program outreach dan Unit Khas Bergerak (UKB).

"Mereka akan turun padang ke luar bandar dan pedalaman untuk membantu penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Ini adalah KPI kementerian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Bertemu Pelanggan KDN di Sibu hari ini.

Sebelum itu, Hishammuddin menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada 14 penerima, sijil daftar lewat kelahiran (empat penerima), MyKad (lima penerima), dan MyKid (lima penerima).

Dari Januari hingga April tahun ini, UKB JPN Sarawak menerima 1,770 permohonan untuk daftar lewat kelahiran dan 1,313 permohonan untuk daftar lewat kad pengenalan.

NONE Menurut perangkaan, seramai 25,254 penduduk di Sarawak masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang melibatkan penduduk tempatan yang tidak memohon dan penduduk warga asing yang telah lama menetap di Sarawak.

Hishammuddin berkata KDN telah menambah bilangan pegawai dan memanjangkan masa waktu bekerja untuk mempercepatkan segala proses permohonan.

"Kementerian tidak mengetepikan sebarang syarat dan kelayakan yang ditetapkan. Hal-hal yang berhubungkait dengan kenegaraaan adalah satu perkara serius kerana ia melibatkan keselamatan negara dan kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi keadaan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS