Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: BN tetap tunai janji di Sibu walaupun kalah
Diterbitkan:  May 17, 2010 7:39 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Barisan Nasional (BN) akan tetap menunaikan semua janji yang dibuatnya kepada penduduk Sibu semasa kempen pilihan raya kecil di situ minggu lalu walaupun calonnya telah kalah kepada calon DAP, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NONE Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata ini kerana kerajaan tidak melihat pilihan raya kecil itu sebagai satu titik kesudahan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakannya.

"Segala apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri atau saya atau mana-mana pemimpin BN sebelum itu, kita akan tunaikan.

"Sebahagian telahpun ditunaikan sama ada ia membabitkan masyarakat Iban, Melayu, Melanau, Bumiputera atau Cina, dan sama ada Muslim atau Kristian dan sebagainya, itu kita tidak membeza-bezakan.

"Mana yang kita sudah beri pengakuan, kita akan terus tunaikan. Kita tidak melihat pilihan raya kecil itu sebagai satu titik kesudahan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di Putrajaya hari ini.

NONE Beliau berkata demikian ketika mengulas kegagalan BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya kecil itu semalam.

Muhyiddin berkata, walaupun kecewa dengan keputusan itu tetapi BN menerimanya kerana ia adalah pilihan rakyat.

Katanya, BN akan meneliti punca kekalahan itu dan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin BN di Sarawak.

"Kita nak nilai dari segi prestasi jentera yang ada, di samping pendekatan yang kita gunakan.

"Sebelum ini, dikatakan di Sarawak, suasananya tidak serupa di Semenanjung tetapi daripada apa yang kita lihat, ia tidak berbeza dari segi sentimen, kehendak pengundi.

"Dengan sebab itu, pendekatan yang akan digunakan pastinya adalah yang lebih sesuai. Apa pun hari ini, kita akan ambil perhatian," katanya.

- Bernama

ADS