Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Rakyat perlu bijak nilai janji Anwar
Diterbitkan:  May 29, 2010 8:35 PM
Dikemaskini: May 30, 2010 12:27 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat perlu menilai secara bijak setiap janji yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa ketua umum PKR itu sebenarnya hanya mahu mencapai cita-citanya menjadi perdana menteri.

    

Perdana menteri berkata, rakyat perlu mengingati kembali apa yang pernah dibuat Anwar ketika mencanangkan penubuhan kerajaan baru pada 16 September 2008.

    

"Dia (Anwar) dah berjanji macam-macam, sebab dia nak kuasa, saya berharap rakyat berhati-hati dengan janjinya," katanya kepada pemberita di Pekan hari ini, lapor Bernama.

    

Beliau mengulas janji terbaru Anwar untuk mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.

    

Janji terbaru Anwar itu disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan pada 26 Mei lepas.    

    

"Rakyat harus berhati-hati kerana janjinya tidak semestinya dapat ditunaikan. Kadang-kadang dia cakap lain kepada orang Melayu dan cakap lain kepada orang Cina.

    

"Terpulang kepada rakyat, yang penting rakyat tidak boleh telan bulat-bulat kerana dia sendiri tahu dia tak boleh tunaikan," kata perdana menteri.

    

Najib berkata rakyat juga perlu sedar bahawa Anwar sebenarnya kini semakin hilang pengaruh di kalangan pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang.

    

"Setiausaha agungnya (Datuk Salehuddin Hashim) pun sudah letak jawatan. Jadi mesti ada sesuatu yang tak betul berlaku dalam kepimpinan PKR. Dia sudah hilang pengaruh dan wakil rakyatnya sendiri.

    

"Kalau mereka puas hati mereka takkan pindah (letak jawatan). Puncanya ialah mereka tidak puas hati," kata Najib.

    

Perdana menteri berkata sebab itulah Anwar kini dilihat terpaksa menaburkan pelbagai janji politik yang tidak mampu ditunaikannya.

    

ADS