Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dalam berdepan kritikan ke atasnya, Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kini sedang meneliti beberapa pelantikan dalam kerajaan tempatan dan juga pewujudan jawatan pegawai pembangunan DUN.

Berucap ketika menggulung perbahasan di kongres PKR hari ini, Khalid dengan sebak berkata, pelantikan itu perlu mendapat persetujuan bersama oleh anggota parti.

"Ini perkara sangat sensitif, saya minta kerjasama semua (untuk) tunjukkan kematangan kita bagaimana kita memilih pemimpin kita di masa depan," katanya.

Katanya lagi, beliau juga telah menyiapkan cadangan untuk mengadakan indeks integriti bagi kerajaan bawah Pakatan Rakyat.

"Hari Rabu (2 Jun) saya akan luluskan dalam mesyuarat exco sebagai satu hala tuju, bagaimana (untuk capai) pentadbiran bersih," katanya.

Pengumumannya dalam ucapan penggulungan itu timbul berikutan tuntutan yang dikemukakan perwakilan berhubung penjawatan dalam struktur kerajaan negeri itu yang tidak memihak kepada anggota parti.

Khalid juga berkata, beliau terharu dengan saranan yang dikemukakan khususnya daripada perwakilan muda dalam kongres parti itu.

"Saya kena sediakan tapak untuk angkatan muda ambil alih sebab kita mahu PKR punyai tapak yang kukuh dan dengan itu terus dapat kembangkan kepimpinan," katanya lagi.

Dengan sebak, Khalid sebelum itu berkata beliau rela ditegur sekiranya melakukan apa-apa kesilapan dan bersyukur apabila berjaya menjadi wakil rakyat.

Katanya lagi, sepanjang dua tahun sebagai menteri besar, beliau juga telah menjalankan sebanyak 105 mesyuarat exco negeri.

"Setiap kali mesyuarat exco negeri juga saya akan bacakan doa," katanya lagi yang turut menjelaskan doa itu adalah untuk menghindari dirnya dan pemimpin kerajaan negeri daripada sifat rasuah.

"Kami tak mampu menghadapi azab neraka di akhirat nanti,"

ADS